KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Danish Hairudin mencabar kepimpinan Pas untuk menjawab dengan jelas sama ada ada wakil rakyat Pas turut menyokong keputusan penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Menurut Danish, ini persoalan tentang tanggungjawab politik bahkan Pas sering lantang bercakap soal kedaulatan institusi diraja.
“Apabila wakilnya berada dalam pentadbiran yang terlibat secara langsung dalam krisis ini, rakyat berhak mendengar pendirian Pas sendiri.
“Krisis Negeri Sembilan bukan isu kecil. Ini melibatkan kedudukan Yang di-Pertuan Besar dan keputusan kerajaan negeri berhubung proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz.
“Pas tidak boleh berdiam diri seolah-olah krisis di Negeri Sembilan tiada kaitan dengan mereka. Pas mempunyai wakil dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
“Menteri Besar Negeri Sembilan pula telah mengesahkan bahawa keputusan berhubung proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz dibuat sebulat suara oleh semua ahli Exco.
“Maka saya mencabar kepimpinan Pas jawab dengan jelas. Adakah wakil Pas turut menyokong keputusan itu? Jika menyokong, tampil dan pertahankannya. Jika membantah, nyatakan bila bantahan itu dibuat dan mengapa Menteri Besar mengumumkannya sebagai keputusan sebulat suara,” katanya.
Danish mengingatkan, jangan jadikan diam sebagai jalan keluar.
“Pas mesti jawab. Rakyat berhak tahu siapa yang membuat keputusan, siapa yang menyokongnya, dan siapa yang perlu bertanggungjawab.
“Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah membatalkan pelantikan ahli-ahli Exco susulan pertikaian tersebut. Dalam keadaan penting ketika ini, diam bukan sebuah jawapan.
“Pas mesti jelaskan pendiriannya dan peranan wakilnya kepada rakyat Negeri Sembilan,” gesa beliau.



