KUALA LUMPUR – Apa bentuk aktiviti di Hutan Simpanan Kekal (HSK) Tasik Bera yang diwartakan sebagai Tapak Ramsar mesti dilaksanakan dengan mematuhi prinsip ‘wise use’ yang menjadi panduan utama di bawah Konvensyen Ramsar.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dalam satu kenyataan berkata penerokaan, penebangan pokok dan pertanian tanpa kebenaran perlu ditangani dengan berhemah berlandaskan undang-undang.
Tapak Ramsar ialah kawasan tanah lembap yang diiktiraf di peringkat antarabangsa kerana kepentingan ekologi, biodiversiti dan peranannya dalam menyokong kehidupan serta alam sekitar.
“Hutan Simpan Pemuliharaan Tasik Bera telah diwartakan sebagai HSK pada 30 Ogos 2007 di bawah Seksyen 7, Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313].
“Tasik Bera telah diiktiraf sebagai Tapak Ramsar pada 1994 dan mempunyai kepentingan ekologi dan kepelbagaian biologi tanah lembap pada peringkat antarabangsa,” katanya.
Arthur berkata NRES sebagai pihak yang bertanggungjawab menyelaras pelaksanaan komitmen negara di bawah Konvensyen Ramsar sentiasa memberi perhatian terhadap usaha pemuliharaan kawasan tanah lembap itu.
Kementerian juga menyokong penguatkuasaan bersepadu oleh Kerajaan Negeri Pahang terhadap aktiviti meneroka tanpa kebenaran yang didakwa melibatkan kawasan seluas 2,212 hektar di dalam kawasan HSK.
“Pelaksanaan operasi ini juga mengambil kira keputusan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-79 pada 2 Dis 2021, yang antara lain menekankan kepentingan tindakan penguatkuasaan oleh kerajaan negeri bagi menangani aktiviti penerokaan tanpa kebenaran dalam HSK berdasarkan peruntukan Akta 313,” katanya.
Menurut beliau, NRES menghormati bidang kuasa kerajaan negeri dalam pengurusan dan pentadbiran HSK dan akan terus memainkan peranan sebagai penyelaras pada peringkat Persekutuan dalam kerjasama strategik.
Kerjasama penting untuk menyokong komitmen Malaysia semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada 1992 untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan tanah negara dilitupi kawasan hutan dan pokok-pokok.



