Bimbang Banjir Atau Takut Kalah? Zahid Tanya Parti Lawan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Parti lawan Barisan Nasional (BN) mencipta helah kononnya bimbang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan pada musim banjir sedangkan dakwa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pembangkang sedang ‘membeli masa’ elak berdepan penentuan rakyat.

Pengerusi BN itu mempersoalkan kejujuran parti lawan sama ada benar bimbangkan banjir atau sekadar muslihat untuk melengahkan masa demi memperdaya fikiran rakyat.

“Persoalan sebetulnya apakah benar lawan BN tidak mahu PRU-15 diadakan kerana bimbangkan banjir? Jujurkah mereka dengan alasan tersebut atau ia sekadar satu lagi muslihat untuk mengelak daripada perlu berdepan dengan penentuan rakyat.

“Saksikan sejak kerajaan gagal 22 bulan tumbang pada Februari 2020, pesaing BN teramat takut mandat akan diserahkan semula kepada rakyat.
Sudah lebih dua tahun mereka berikhtiar untuk menyekat rakyat dibenarkan menunaikan hak demokrasi mereka bagi memilih sebuah kerajaan baru,” kata Zahid.

Beliau berkata, lawan BN tahu majoriti rakyat sudah mengerti tentang agenda politik mereka yang songsang, merosakkan dan tidak selari dengan nilai negara Malaysia.

“Maka lawan BN masih membantah PRU-15 membuktikan mereka masih lemah dan takut. Mungkin belum menemui hasutan pembohongan baru yang mampu memperdaya fikiran rakyat.

“Justeru, alasan lawan BN PRU-15 tidak boleh diadakan pada tahun ini kerana banjir haruslah dibaca bersama helah mereka untuk terus ‘membeli masa’.
Seperti saya nyatakan jika benar lawan BN jujur tidak mahu PRU-15 kerana bimbang kemungkinan banjir penghujung tahun, maka kita adakan PRU-15 sekarang,” cabar Zahid.

Presiden Umno itu mendesak pilihan raya diadakan sebelum monsun jika banjir menjadi kebimbangan utama parti lawan.

“Kita adakan PRU-15 sebelum musim hujan seperti diramalkan walaupun kita amat yakin terhadap kemampuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjayakan demokrasi dalam apa jua situasi.

“Kesemua Pejabat Pilihan Raya Negeri dilaporkan sudah pun membuat persediaan sejak Ogos lalu untuk melaksanakan PRU-15 pada bila-bila masa.

“Ketua Pemuda BN, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki juga telah menjelaskan PRU-15 boleh diadakan dalam tempoh empat minggu sejurus Parlimen dibubarkan,” cadang Zahid lagi.

Jelasnya, tidak perlu lama tempoh berkempen kerana lawan BN telah dan sedang pun berkempen ketika ini termasuk mengadakan jelajah hasutan pembohongan ke seluruh negara.

Hakikatnya kata Zahid, kemungkinan banjir yang tidak diketahui skalanya lebih menuntut PRU-15 diadakan sekarang agar kebajikan rakyat dapat diuruskan oleh sebuah kerajaan yang lebih stabil dan kukuh.

“Kita tidak mahu insiden percanggahan dalam urusan membantu mangsa banjir berulang lagi, akibat daripada sebahagian pimpinan kerajaan parti lawan yang merancang agenda politik semata-mata.

“Kita juga tidak mahu kemelut ‘tutup pintu depan, buka pintu belakang’ terus berlaku dalam pentadbiran kerajaan kerana yang menjadi mangsa adalah rakyat dan negara,” jelas beliau.

Zahid menegaskan kerajaan yang mantap, tidak ada sabotaj sesama sendiri kriteria penting menguruskan kesejahteraan hidup rakyat dan mendepani ramalan kemelesetan ekonomi dunia.

“Maka kita adakan PRU-15 sekarang dan selesaikan proses demokrasi itu sekarang. Benarkan rakyat Malaysia memilih demi sebuah kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan.

“Supaya kerajaan dapat kembali berfungsi tanpa “politicking” dalaman yang menyulitkan dan saling tuduh menuduh angkara kerakusan lawan BN untuk berkuasa,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat