Jadual giliran PdP akan mudahkan pelajar, guru dan ibu bapa

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil kira situasi semasa, termasuk kadar vaksinasi dalam kalangan guru, anggota kumpulan pelaksana dan pekerja perkhidmatan sokongan serta pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), KPM telah mengumumkan bahawa sekolah akan dibuka untuk pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka mulai 3 Oktober 2021 bagi negeri kumpulan A dan 4 Oktober 2021 bagi negeri kumpulan B.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pembukaan sekolah dibuat secara berperingkat mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Bagi negeri Fasa 1 PPN, semua murid masih meneruskan PdPR. Hanya tadika swasta dibenarkan beroperasi bagi anak-anak yang ibu bapa atau penjaga mereka bekerja.

“Manakala bagi negeri Fasa 2 PPN, PdP secara bersemuka dibenarkan untuk murid kelas peperiksaan awam dan antarabangsa yang akan menduduki peperiksaan dalam tempoh terdekat.

“Murid Berkeperluan Khas di Sekolah Pendidikan Khas dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) juga boleh hadir secara bersemuka. Tadika swasta dibenarkan untuk terus beroperasi bagi anak-anak yang ibu bapa atau penjaga mereka bekerja. Murid lain akan mengikuti PdPR,” jelas Radzi.

Sementara itu, beliau menambah, bagi negeri di Fasa 3 PPN, murid yang akan hadir ke sekolah adalah sama seperti kumpulan murid di Fasa 2.

Selain itu katanya, murid kelas peperiksaan awam dan peperiksaan antarabangsa yang lain akan hadir manakala prasekolah juga akan mula beroperasi dan murid lain akan mengikuti PdPR.

“Bagi negeri di Fasa 4 PPN, murid yang akan hadir ke sekolah adalah sama seperti kumpulan murid di Fasa 3. Kemasukan murid lain akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Satu pelan komprehensif pembukaan semula sekolah telah disediakan bagi memastikan murid dapat kembali belajar secara bersemuka di sekolah dalam keadaan selamat,” katanya.

Berdasarkan pelan ini jelas Radzi, KPM telah menetapkan supaya kapasiti murid di sekolah dihadkan pada kadar 50 peratus enrolmen keseluruhan.

“Bagi tujuan tersebut, kaedah yang digunakan adalah dengan mengehadkan kapasiti murid di dalam kelas kepada 50 peratus daripada jumlah murid dalam kelas tersebut.

“Justeru, sistem penggiliran murid hadir ke sekolah mengikut minggu akan dilaksanakan. Kaedah ini diguna pakai untuk semua kelas kecuali: MBK di SKPK/SMKPK/SMPKV dan PPKI; murid di Tingkatan 6 Semester 2 dan IBD Tahun 2; murid di sekolah asrama sepenuhnya; murid kelas peperiksaan antarabangsa; murid prasekolah/tadika swasta/pusat perkembangan minda (4-6 tahun); dan murid di Sekolah Kurang Murid (kurang 150 murid),” katanya.

Menurut beliau,kaedah penggiliran ini membolehkan penjarakan fizikal dalam kelas yang lebih baik dan memudahkan pemantauan guru ke atas murid.

“Ini juga bagi mengurangkan kesesakan sewaktu pergerakan masuk dan
penyuraian di sekolah.

“Bagi kelas yang melaksanakan penggiliran, murid di dalam kelas tersebut akan dibahagikan kepada dua kumpulan. Dalam satu-satu minggu hanya satu
kumpulan sahaja yang akan hadir ke sekolah manakala kumpulan yang satu lagi akan melaksanakan PdPR secara sendiri.

“Sebagai contoh, kelas yang mempunyai 36 murid akan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu A dan B dengan setiap kumpulan mempunyai 18 murid. 18 murid kumpulan A akan hadir pada minggu pertama untuk mengikuti PdP secara bersemuka manakala 18 murid kumpulan B akan menjalani PdPR secara sendiri. Untuk minggu berikutnya, 18 murid kumpulan B pula akan mengikuti PdP secara bersemuka dan 18 murid kumpulan A tadi akan menjalani PdPR secara sendiri.

“Kitaran penggiliran ini akan berterusan sehingga dimaklumkan oleh KPM kelak,” katanya.

Radzi berkata, sebelum sekolah dibuka untuk PdP bersemuka, guru akan menetapkan kumpulan murid dan giliran mereka untuk hadir ke sekolah. Guru kemudiannya akan memaklumkan kepada setiap kumpulan murid tentang persediaan yang perlu dilaksanakan semasa mereka menjalani PdPR secara sendiri atau
sebelum mereka hadir ke sekolah untuk PdP bersemuka.

“Bagi kumpulan murid yang mengikuti PdPR secara sendiri, guru akan menjelaskan tentang aktiviti, latihan atau tugasan yang perlu dilaksanakan berdasarkan topik yang akan dipelajari.

“Bagi kumpulan murid yang mengikuti PdP secara bersemuka, selain daripada mengajar topik yang berkaitan, guru juga akan menjelaskan kepada murid tentang persediaan yang perlu dibuat sewaktu mereka berada di rumah untuk PdPR secara sendiri pada minggu berikutnya.

“Bagi memastikan PdP Secara Penggiliran ini dapat dilaksanakan dengan baik, KPM telah menyediakan Manual Pengoperasian Pengajaran dan Pembelajaran Secara Penggiliran sebagai panduan kepada pengetua,guru besar, guru, murid dan ibu bapa dan penjaga,” jelas beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat