Pantun Zahid dalam gurau beri isyarat retak menanti belah

KUALA LUMPUR – Jawapan pantun Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kepada Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mungkin disampaikan dalam nada gurauan, namun sarat dengan makna yang mendalam.

Ia ibarat telunjuk lurus, kelingking berkait— di hadapan menegaskan hubungan masih baik, tetapi di sebalik bahasa kiasan itu terselit satu isyarat bahawa setiap persahabatan politik tetap mempunyai batasnya.

Anwar terlebih dahulu menyampaikan pantun yang membawa mesej jelas mengenai kepentingan mengekalkan hubungan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), meskipun kedua-dua gabungan mengambil haluan berbeza dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Pantun Anwar berbunyi:

Burung merbah terbang sekawan,
Guruh berdentum membelah awan;
Berbeza langkah, jangan putus kawan,
Selagi muafakat, kita sehaluan.

Mesej pantun itu tidak sukar difahami. Anwar seolah-olah mengingatkan bahawa pertembungan PH dan BN dalam pilihan raya negeri tidak seharusnya memutuskan kerjasama kedua-dua gabungan di peringkat Persekutuan.

Walaupun berbeza langkah di Negeri Sembilan, hubungan di Putrajaya perlu terus dipertahankan selagi masih terdapat muafakat.

Namun, pantun balas Zahid membawa nada yang lebih keras, penuh simbol dan terbuka kepada tafsiran.

Beliau berkata:

Mendaki ke Gunung Tahan,
Jatuh ke gaung temui maut,
Bumbung tercabut mampu ditahan,
Jika ribut, diterbang ke laut.

Dalam satu sudut, frasa “bumbung tercabut mampu ditahan”boleh dianggap sebagai jawapan langsung kepada seruan Anwar supaya perbezaan langkah tidak menyebabkan persahabatan terputus.

Bumbung yang tercabut menggambarkan kerosakan atau perselisihan yang masih boleh diperbaiki. Dalam konteks politik, pertembungan dalam PRN, persaingan merebut kerusi atau pertikaian antara penyokong masih boleh ditahan dan diselesaikan.

Dengan kata lain, Zahid mungkin bersetuju bahawa sekadar berbeza langkah tidak semestinya menyebabkan hubungan PH dan BN berakhir.

Namun, baris terakhir pantun itu membawa satu peringatan yang jauh lebih serius.

“Jika ribut, diterbang ke laut.”

Jika perbezaan itu tidak lagi sekadar bumbung tercabut, tetapi berkembang menjadi ribut yang menggoncang keseluruhan rumah, Zahid seolah-olah memberi bayangan bahawa beliau juga bersedia menerima kemungkinan berpisah.

Dalam tafsiran tersebut, ada perbezaan besar antara kerosakan kecil yang masih mampu ditahan dengan ribut besar yang boleh menerbangkan sesuatu jauh ke laut.

Mesejnya boleh dibaca secara mudah: perselisihan biasa masih boleh dimaafkan, persaingan politik masih boleh diuruskan dan hubungan masih boleh diselamatkan.

Tetapi sekiranya tindakan salah satu pihak berubah menjadi ancaman besar terhadap kedudukan, maruah atau kelangsungan pihak yang lain, maka persahabatan politik itu mungkin tidak lagi dapat dipertahankan.

Zahid bagaimanapun menegaskan hubungannya dengan Anwar masih berada dalam keadaan baik.

“Hubungan kita baik-baik sahaja. Tengoklah, apa saja yang kita tak buat, cuma belum cium mulut saja lagi. Lain semua okey,” katanya dalam nada bergurau.

Kenyataan itu pada zahirnya bertujuan meredakan spekulasi bahawa hubungan kedua-dua pemimpin sedang bermasalah.

Namun, gurauan tersebut tidak semestinya menghapuskan mesej serius yang terkandung dalam pantunnya.

Dalam politik Melayu, pantun sering digunakan untuk menyampaikan teguran, sindiran atau amaran tanpa perlu menyebut nama dan maksud secara terus.

Seorang pemimpin berpengalaman seperti Zahid tentunya memahami bahawa pemilihan perkataan seperti “gaung”, “maut”, “bumbung tercabut”, “ribut” dan “diterbang ke laut” akan mengundang tafsiran politik.

Jika Anwar menggunakan pantunnya untuk meminta agar persahabatan tidak diputuskan hanya kerana berbeza langkah, Zahid pula kelihatan menjawab bahawa hubungan itu memang masih boleh dipertahankan — tetapi bukan tanpa syarat.

Selagi perbezaan tersebut hanya ibarat bumbung tercabut, ia masih mampu ditahan.

Namun jika ia bertukar menjadi ribut, akan ada pihak yang tercampak ke laut.

Justeru, di sebalik gelak ketawa dan gurauan mengenai hubungan yang begitu rapat sehingga “cuma belum cium mulut”, pantun Zahid mungkin membawa mesej yang jauh lebih serius.

Bumbung yang tercabut masih mampu ditahan, tetapi apabila angin sudah menjadi ribut, retak itu mungkin hanya menanti masa untuk belah.

author avatar
AB JALIL BACKER
Chief Storyteller
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat