KUALA LUMPUR – Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim khususnya melibatkan penurunan harga petrol sebanyak 6 sen tidaklah terlalu mengejutkan seperti mana diharapkan rakyat.
Menteri Besar Perlis Mohd. Shukri Ramli berkata, bagaimanapun apa sahaja pengumuman yang meringankan beban rakyat adalah suatu perkara yang perlu disambut baik.
Katanya, Sumbangan Asas Rahmah (SARA) melibatkan semua individu berusia 18 tahun dan ke atas menerima RM100 secara one-off (sekali bayar) juga baik, namun jika disalurkan secara bulanan kepada mereka yang memerlukan adalah lebih berkesan.
“Pengumuman Perdana Menteri ini satu langkah yang baiklah, cuma enam sen (penurunan harga petrol) tidaklah mengejutkan, kalau 60 sen lagilah menarik.
“Mudahnya apa sahaja yang boleh memberi keuntungan, meringankan beban rakyat, satu perkara yang baiklah dan penurunan enam sen, saya lihat lebih baik kalau 60 sen,”lapor Utusan di Kangar pada Rabu.
Perdana Menteri mengumumkan harga petrol RON95 akan turun enam sen kepada RM1.99 seliter sebelum akhir September ini.
Rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas pula akan menerima RM100 secara one-off melalui MyKad di bawah SARA sempena Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.
Anwar turut mengumumkan kadar tol di 10 lebuh raya kekal dan kerajaan akan menanggung kos lebih RM500 juta bagi membolehkan rakyat terus menikmati kadar tol yang sama.
Beliau turut mengisytiharkan 15 September ini sebagai hari kelepasan am tambahan bersempena sambutan Hari Malaysia tahun ini.
Mohd. Shukri berkata, kerajaan juga perlu melihat secara menyeluruh pengumuman tersebut adakah setimpal dengan kesan kenaikan harga barangan pada masa ini.
“Kalau boleh, Perdana Menteri boleh umumkan lah lebih banyak lagi perkara untuk keselesaan rakyat,” katanya.



