RIM lancar tabung bantu pengamal muzik terjejas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menyedari ramai pengamal industri muzik terputus mata pencarian sejak penularan COVID-19, Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) mengambil inisiatif melancarkan Dana Tabung Kecemasan.

Melalui inisiatif itu, RIM menawarkan bantuan kepada penggiat industri yang pendapatannya terjejas teruk atau hilang sepenuhnya akibat penularan virus berbahaya itu.

Pengerusi RIM, Rosmin Hashim, berkata persatuan mendengar keluhan pengamal muzik sejak bermulanya penularan pandemik COVID-19, awal tahun lalu.

“Memang ramai pekerja seni muzik berjuang memenuhi keperluan harian selama ini. Tetapi disebabkan penularan COVID-19, kebanyakan daripada mereka terpaksa menghentikan kerja seni termasuk projek rakaman lagu.

“Ini membataskan peluang menjana pendapatan lain. Pertunjukan secara langsung juga terhenti dengan adanya sekatan yang dilaksanakan sehingga menyukarkan ekosistem industri muzik bernyawa,” katanya kepada BH Online.

Rosmin menambah, sejak perlantikan Ahli Majlis Baharu RIM Penggal 2021 hingga 2023, mereka aktif merangka pelbagai strategi untuk mengembangkan industri muzik tempatan demi manfaat ahli dan industri muzik.

“Dana Tabung Kecemasan ini adalah salah satu inisiatif utama yang memerlukan pelaksanaan segera kerana kesukaran dihadapi ramai pekerja seni muzik.

“Sumbangan RIM kepada penggiat muzik mematuhi parameter dan syarat yang memungkinkan kami membuat pilihan serta keputusan berhubung penerima dana sebaik mungkin.

“Kami berharap bahawa sumbangan ini dapat memberi sedikit kelegaan kepada mereka yang terjejas dan terputus rezeki,” katanya.

 

Inisiatif amal RIM disalurkan kepada komposer terkenal, Ross Ariffin yang nasib malangnya dipaparkan media, baru-baru ini. - Foto NSTP
Inisiatif amal RIM disalurkan kepada komposer terkenal, Ross Ariffin yang nasib malangnya dipaparkan media, baru-baru ini. – Foto NSTP

 

Rosmin berkata, pihaknya sedang merancang aktiviti pengumpulan dana berskala lebih besar dengan kerjasama Persatuan Penerbit Malaysia (MPA) membabitkan penganjuran pelbagai acara.

“Ini termasuk pertandingan menulis lagu dan proses bidaan lagu yang akan dapat membantu kami mengumpul lebih banyak dana untuk disalurkan kepada golongan memerlukan.

“RIM akan terus meneroka peluang kolaborasi dengan kumpulan atau badan yang berkaitan dengan industri muzik bagi tujuan pengumpulan dana inisiatif amal pada masa depan,” katanya

Inisiatif amal RIM dimulakan dengan sumbangan RM1,000 kepada gitaris kumpulan Search, Kid bagi membiayai kos rawatan barah isterinya.

Sumbangan RM1,000 juga akan disalurkan kepada komposer terkenal, Ross Ariffin yang nasib malangnya dipaparkan media, baru-baru ini.

Tambah Rosmin, RIM sedang bekerjasama dengan Persatuan Pemuzik Malaysia (MfM) untuk menyumbang sejumlah RM10,000 kepada 20 pemuzik rakaman yang tidak dapat mencari nafkah selepas projek rakaman lagu terbantut dan penutupan banyak pusat hiburan.

“RIM dari masa ke semasa akan terus mengenalpasti pengamal industri muzik lain yang memerlukan dan membantu mereka berdikari semula,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai misi amal RIM layari www.rim.org.my dan akaun media sosial rasmi RIM yang lain.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat