Lelaki Nepal pakar masak heroin ditahan di Pulau Pinang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket memproses heroin selepas menahan tiga lelaki termasuk seorang warga Nepal bersama pelbagai jenis dadah bernilai RM117,000 dalam dua serbuan di Bukit Mertajam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Hamzah Ahmad, berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) melakukan operasi terancang sebelum menyerbu sebuah rumah teres setingkat di Taman Seri Rambai pada 5.30 petang, Isnin lalu, dan menahan seorang lelaki Nepal berusia 35 tahun.

“Hasil pemeriksaan di rumah itu, polis menjumpai makmal memproses dadah bersama 8,471g heroin, 377g bahan asas heroin, dan kafein (9,500g) yang semuanya bernilai RM117,000 serta pelbagai bahan kimia dan peralatan serta perkakasan memproses heroin di situ.

“Ekoran itu, polis kemudian menahan dua lelaki tempatan berusia 17 dan 46 tahun dalam sebuah kereta kira-kira 4km dari rumah dijadikan makmal dadah tersebut, di mana lelaki berusia 46 tahun itu merupakan dalang utama sindiket,” lapor Bernama di Pulau Pinang.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, lelaki Nepal itu mempunyai kepakaran memasak heroin dan sindiket itu mendapatkan bekalan bahan asas heroin dari Thailand, dengan dadah siap diproses dipasarkan untuk pasaran tempatan.

Hamzah berkata, berdasarkan siasatan polis mendapati sindiket memproses dadah itu menjalankan kegiatan tersebut sejak hujung tahun lalu dan semua dadah dirampas boleh digunakan 77,000 penagih.

Katanya, ujian air kencing mendapati dua lelaki tempatan itu positif dadah dan dalang utamanya mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah manakala remaja lelaki tersebut berperanan sebagai pembantu kepada suspek utama.

“Susulan penahanan mereka, polis turut menyita dua buah kereta, dua buah motosikal dan barangan kemas yang semuanya bernilai RM106,800,” katanya sambil menambah bahawa siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan rangkaian tersebut.

Menurutnya, rumah dijadikan makmal memproses dadah itu disewa sindiket dan semua tiga lelaki itu direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, dalam perkembangan lain beliau berkata, polis menahan seorang pengawal keselamatan dan merampas 0.3g syabu bersama dua peluru .38 dalam serbuan di sebuah rumah di Sungai Ara, 11.30 pagi, Isnin lalu.

Katanya, lelaki berusia 50 tahun itu mendakwa dia memiliki peluru hidup itu kerana minat untuk menyimpannya sebagai koleksi peribadi dan hasil ujian air kencing mendapati lelaki tersebut positif dadah serta mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah.

“Lelaki itu direman selama empat hari sehingga 24 Mei ini bagi membantu siasatan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat