KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas Ahmad Fadhli Shaari menyelar pihak yang sebelum ini memperlekeh usaha Pas yang berusaha mengumpul dana untuk parti Islam itu melalui kutipan wang yang diisi dalam ‘tin milo’ daripada penyokong mereka dalam setiap acara parti.
Katanya, Pas mengumpul dana parti melalui sumbangan seikhlas hati daripada penyokong sedangkan pengkritik hidup mewah dengan menyeleweng duit zakat yang sepatutnya diagihkan kepada golongan miskin.
“Mereka perlekehkan lawan dengan kononnya sentiasa buka ‘tin milo’.
“Rupanya mereka mewah dengan sakau duit zakat,” tempelak Ahli Parlimen Pasir Mas itu.
Tanpa menamakan sesiapa, Fadhli dipercayai mengulas berkenaan laporan Timbalan pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) antara tiga yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.



