Istiadat pembukaan Sidang DUN Negeri Sembilan oleh Tuanku Muhriz lancar, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin tidak kelihatan

KUALA LUMPUR – Istiadat perasmian pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-15 pagi ini berjalan lancar.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir tiba di bangunan DUN kira-kira jam 9.35 pagi, diiringi Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud, lapor BH di Seremban pada Khamis.

Baginda kemudian memeriksa barisan kawalan keselamatan terdiri tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat Batalion Ke-14 Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Syed Sirajuddin Gemas.

Bagaimanapun, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin tidak kelihatan pada istiadat berkenaan seperti kelazimannya.

Berdasarkan rekod, lazimnya istiadat akan turut dihadiri Undang Yang Empat, iaitu Datuk Mubarak Dohak (Sungei Ujong), Datuk Maarof Mat Rashad (Jelebu), Datuk Muhammad Abdullah (Johol) dan Datuk Abdul Rahim Yasin (Rembau) serta Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri (Tunku Besar Tampin).

Sebaik selesai upacara perbarisan itu, Tuanku Muhriz kemudian memasuki dewan DUN untuk atur cara berikutnya, iaitu titah diraja.

Sidang DUN Negeri Sembilan dijadual berlangsung selamat empat hari bermula hari ini sebelum disambung semula pada 27 April ini.

Negeri Sembilan mempunyai 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dipimpin Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Terdahulu, sekumpulan individu yang menyatakan sokongan kepada Tuanku Muhriz berhimpun di luar Istana Hinggap dan menyerahkan memorandum sokongan ke pada baginda dan Aminuddin.

Krisis di Negeri Sembilan mencuri tumpuan susulan tindakan undang luak menggunakan kuasa mereka untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar ketika Undang Sungei Ujong pula didakwa sudah dipecat.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat