KUALA LUMPUR, – Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan hari ini menegaskan bahawa parti itu tidak pernah, dan tidak akan mencadangkan sebarang pindaan terhadap perkara-perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Ahli Parlimen Bangi itu, kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mempersoalkan kemampuan DAP untuk meminda Perlembagaan meskipun mempunyai sokongan 148 Ahli Parlimen adalah tidak berasas.
“Saya ingin tegaskan bahawa DAP sentiasa menjunjung, menghormati dan mempertahankan perkara-perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah Syahredzan, antara perkara yang dipertahankan DAP termasuklah Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan istimewa orang Melayu dan Orang Asal Sabah serta Sarawak, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sistem Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen, serta hak kaum-kaum lain yang dijamin oleh Perlembagaan.
Beliau juga menegaskan bahawa pendirian tersebut telah berulang kali dinyatakan secara jelas oleh pimpinan dan perwakilan parti, termasuk dalam Kongres Kebangsaan DAP ke-18 yang berlangsung Mac lalu.
“Oleh itu, tidak timbul langsung apa-apa niat atau agenda DAP untuk mengubah atau meminda perkara-perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini jaminan DAP yang telah berkali-kali dinyatakan,” katanya lagi.
Syahredzan turut mengingatkan semua pihak agar tidak mempersoalkan lagi pendirian DAP dalam hal ini, sambil menegaskan bahawa perjuangan DAP adalah demi rakyat dan negara, serta sentiasa berlandaskan prinsip undang-undang dan proses demokrasi. -SuaraTV