Kos Ibadah Haji meningkat, Tabung Haji umum kadar baharu

- Advertisement -

Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan dua kadar bayaran untuk menunaikan haji kepada jemaah muassasah mengikut golongan B40 serta bukan B40 susulan anggaran kos keseluruhan ibadah itu meningkat kepada RM25,540 seorang tahun ini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata bagaimanapun menerusi pelaksanaan Bantuan Kewangan Haji secara bersasar, jemaah muassasah dalam kalangan B40 hanya perlu membayar RM10,980 seorang manakala kadar bayaran ditetapkan bagi golongan bukan B40 adalah RM12,980 seorang.

“Bayaran haji jemaah muassasah kekal pada RM9,980 seorang sejak 2009, iaitu 13 tahun lepas, walaupun kos menunaikan haji telah meningkat setiap tahun sehingga 103 peratus.

“Berikutan pelaksanaan bantuan bersasar ini, kadar bayaran haji untuk seorang jemaah muassasah B40 dikenakan sebanyak RM10,980 iaitu peningkatan RM1,000 seorang manakala jemaah muassasah dalam kategori bukan B40 ialah RM12,980 seorang iaitu peningkatan RM3,000 atau purata 2.3 peratus setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Eksekutif Haji TH Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan Pengurus Besar (Pengurusan Haji) TH Nurrinanuwar Shamsuddin.

Amrin berkata kenaikan bayaran haji tahun ini tidak dapat dielakkan berikutan peningkatan beberapa kos termasuk inflasi dan pelbagai cukai terutamanya Cukai Nilai Tambah (VAT) dan caj visa haji serta perlindungan insurans untuk jangkitan COVID-19 yang dikenakan oleh kerajaan Arab Saudi.

“Cukai VAT Arab Saudi telah dinaikkan daripada lima peratus kepada 15 peratus dan ini adalah faktor utama kepada kenaikan kos haji kerana jemaah menerima pelbagai perkhidmatan di Tanah Suci. Cukai ini sahaja menyebabkan kos haji meningkat lebih RM2,500 untuk seorang jemaah haji muassasah.

“TH akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji dan menyerap kenaikan kos bagi jemaah haji Malaysia terutama kategori B40 yang sudah tentunya lebih terkesan dengan impak Covid-19 ke atas sara hidup mereka dan penetapan golongan kategori B40 ini adalah berdasarkan pangkalan data yang diguna pakai oleh pihak kerajaan” katanya.

Beliau berkata menerusi Bantuan Kewangan Haji bagi tahun ini, TH akan membayar RM14,560 seorang bagi jemaah muassasah dalam kategori B40 manakala bagi kategori lain turut menerima bantuan RM12,560 seorang berbanding RM12,920 seorang pada 2019.

Sementara itu, beliau berkata TH sedang giat membuat persiapan akhir untuk membawa bakal jemaah haji Malaysia ke tanah suci setelah dua tahun tertangguh berikutan pandemik COVID-19 dan pihaknya akan mengeluarkan surat tawaran tunai haji mulai Isnin depan (25 April).

“Bagi pemilihan jemaah haji, TH akan mengutamakan bakal haji giliran tunai haji pada 2020 diikuti dengan mereka yang giliran tunai haji pada 2021 dan seterusnya pada tahun ini. Ini adalah berdasarkan sistem pendaftaran haji berasaskan prinsip yang dahulu didahulukan,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad mengumumkan seramai 14,306 jemaah haji dari Malaysia dibenarkan untuk mengerjakan haji tahun ini iaitu 45 peratus daripada kuota biasa yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi.

Jumlah kuota berkenaan menyaksikan penyusutan bilangan jemaah haji Malaysia berbanding 31,600 jemaah sebelum ini.

Idris berkata antara syarat yang dikenakan ke atas jemaah haji tahun ini ialah mereka mesti berusia bawah 65 tahun, tidak mempunyai penyakit kronik dan mempunyai sijil vaksinasi Covid-19 serta perlu mengemukakan keputusan negatif ujian calitan (PCR) dalam tempoh 72 jam daripada masa berlepas.

– Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat