KUALA LUMPUR – Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man meluangkan masa menziarahi Mursyidul Am Pas Datuk Hashim Jasin yang sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini.
Dalam perkongsian di Facebook, Tuan Ibrahim meminta orang ramai sama-sama mendoakan kesembuhan buat Mursyidul Am Pas itu.
“Berada di Hospital Pulau Pinang bersama Presiden Pas bagi menziarahi Guru Mursyidul Am yang sedang menerima rawatan.
“Marilah bersama-sama kita mendoakan agar Tuan Guru Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin, dikurniakan kesembuhan serta kesejahteraan.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Pengarah Hospital Pulau Pinang serta seluruh pasukan doktor, ahli keluarga dan petugas kesihatan yang merawat dan menjaga Tuan Guru Mursyidul Am,” ujar Tuan Ibrahim.
Terdahulu media melaporkan, Mursyidul Am Pas sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas menjalani prosedur pemasangan sten.
Anak bongsunya Husna berkata bapanya dipindahkan ke HPP empat hari lepas dari Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Perlis bagi menjalani prosedur pemasangan sten pada bahagian arteri paha susulan kecederaan di kawasan itu.
“Prosedur itu berjaya dilaksanakan dan abah (Hashim) kini dipantau rapi di ICU berikutan keadaan jantung yang semakin lemah selain komplikasi kesihatan lain. Alhamdulillah, prosedur sudah berjaya namun keadaan masih tidak stabil dan menerima rawatan.
“Saya mewakili keluarga memohon maaf kerana tidak dapat membenarkan sebarang ziarah buat masa ini atas nasihat doktor memandangkan keadaan abah yang sangat tidak stabil,” katanya.



