KUALA LUMPUR, — Radio Televisyen Malaysia (RTM) secara rasmi mengesahkan pelantikan Ashwad Ismail sebagai Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia yang baharu, menggantikan Datuk Suhaimi Sulaiman yang bersara minggu lalu.
Pengumuman itu dibuat menerusi kenyataan ringkas di media sosial rasmi RTM yang mengalu-alukan pelantikan tersebut.
“Selamat Datang YBrs. Encik Ashwad Ismail sebagai Ketua Pengarah Penyiaran.
“Semoga kepimpinan yang dibawa terus memperkasakan industri penyiaran negara dan memacu RTM ke tahap yang lebih gemilang,” menurut kenyataan itu.
Pelantikan Ashwad mengesahkan spekulasi yang timbul susulan pengumuman beliau sebelum ini untuk berundur daripada jawatan Ketua Pengarang Astro AWANI, selepas lima tahun menerajui organisasi berita tersebut.
Dalam kenyataan perpisahannya, Ashwad memaklumkan beliau membuat keputusan untuk berundur ketika Astro AWANI berada dalam keadaan kukuh dan mampan, selain menzahirkan penghargaan kepada Astro Malaysia Holdings Berhad atas kepercayaan yang diberikan kepadanya sejak dilantik sebagai Ketua Pengarang pada usia 36 tahun.
Beliau menyifatkan Astro AWANI sebagai satu misi untuk membuktikan kewartawanan mampu berinovasi, kekal berprinsip dan berdaya tahan secara komersial walaupun berdepan cabaran industri media yang semakin mencabar.
Pelantikan Ashwad dilihat sebagai satu langkah penting dalam usaha memperkukuh kepimpinan RTM, khususnya dalam menghadapi perubahan landskap media digital dan keperluan transformasi penyiaran awam agar kekal relevan serta berdaya saing.
Ashwad menggantikan Datuk Suhaimi Sulaiman yang menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia pada Khamis lalu selepas menerajui institusi penyiaran awam negara itu.



