KUALA LUMPUR – Ahli Jawatankuasa Khas Bebas Darurat menuntut kerajaan membenarkan persidangan Parlimen diadakan dalam tempoh terdekat meskipunn darurat masih dilaksanakan.
Tiga Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan (PH) iaitu, Datuk Saifuddin Nasution Ismail (Kulim-Bandar Bharu), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor) dan Anthony Loke (Seremban).
Mereka bertiga menyatakan pendirian bahawa persidangan Parlimen boleh diadakan tertakluk kepada segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) seperti dilaksanakan sepanjang sesi tahun lalu.
“Persidangan Parlimen adalah sangat penting untuk memastikan segala agenda dan langkah-langkah untuk membendung Covid-19 dapat dibahaskan oleh ahli-ahli Parlimen selain memastikan semak dan imbang terhadap segala keputusan yang dibuat oleh pihak eksekutif.
“Keputusan untuk mengembalikan sidang Parlimen juga akan memberikan keyakinan kepada dunia luar dan pelabur bahawa Malaysia tetap komited terhadap sistem demokrasi berparlimen dan prinsip kedaulatan undang-undang,” jelas kenyataan bersama itu.
Justeru, mereka berharap cadangan ini dipersetujui oleh AJK yang lain sebagai pendirian bersama untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong.