Jadi Pemimpin Jangan Kuat Merajuk

- Advertisement -

Oleh: Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff

Di dalam minda ahli Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) pada ketika ini, sudah tentu menjadi tanda tanya siapakah yang bakal mengisi jawatan Timbalan Presiden sekiranya kerusi itu dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Dua nama yang sedang disebut-sebut bakal berentap menjadi orang nombor dua bagi parti terbesar dalam gabungan kerajaan tersebut adalah Saifuddin Nasution dan Rafizi Ramli.

Penulis tidak mengenali secara peribadi kedua-dua tokoh pemimpin ini dan dapatan penulis berkenaan mereka hanya dari kenyataan akhbar, media sosial dan klip-klip ucapan mereka yang tersebar di semua platform media massa.

Namun, pada hemat penulis, di saat PMX Datuk Seri Anwar Ibrahim giat menjalankan tugas beliau sebagai pemimpin No 1 negara, sudah tentu orang yang sepatutnya menjadi pemimpin No.2 di dalam parti adalah orang yang berkaliber dan hampir setara semangat juangnya dengan PMX sendiri.

Sejujurnya, kedua-dua pemimpin ini adalah mereka yang ada jasanya terhadap parti dan perjuangan reformasi, namun kita perlu lebih praktikal dalam menilai situasi semasa, kerana perjuangan reformasi ini bukan sekadar berkisarkan retorik dan ucapan berdegar-degar semata-mata.

Kini, tampuk pemerintahan negara sudah berada di tangan Pakatan Harapan dan Keadilan pula dilihat sebagai nakhoda utama yang dipertanggungjawabkan untuk melayarkan aspirasi kerajaan demi membawa Malaysia ke tahap yang lebih baik.

Dari sudut ini, penulis melihat keupayaan Keadilan untuk terus menjadi ketua kepada gabungan Pakatan Harapan + Barisan Nasional perlu disandarkan kepada mereka yang lebih cekal jiwanya.

Sudah semestinya perkara sepenting ini tidak disandarkan kepada pemimpin yang cepat merajuk, lekas patah hati dan suka membawa diri tatkala tidak berpuas hati dengan perkara-perkara yang kita pun tidak pasti hujung pangkalnya.

Pada hemat penulis sebagai pemerhati politik, di dalam pemilihan bagi jawatan Timbalan Presiden Keadilan (sekiranya dipertandingkan nanti) sewajarnya diisi oleh Saudara Saifuddin Nasution berbanding Saudara Rafizi Ramli.

Penulis tidak menafikan bahawa sebagai pemimpin yang telah bersama-sama dengan Keadilan pasca 1998, Saudara Rafizi Ramli mempunyai formula dan teori yang baik untuk membangunkan negara.

Namun begitu, setelah diangkat menjadi Menteri Ekonomi teori yang diutarakan beliau semasa berkempen dulu kini seolah-olah menjadi “senjata makan tuan” yang sedikit sebanyak menjadi liabiliti kepada Keadilan + Pakatan Harapan terutamanya bila berdepan dengan masyarakat umum.

Ditambah lagi dengan situasi di mana pada ketika ini PMX sedang cuba menyelesaikan pelbagai masalah negara, Saudara Rafizi Ramli pula secara tiba-tiba memohon untuk bercuti atas sebab-sebab yang kurang jelas, menambahkan lagi status liabiliti beliau, bukan hanya kepada parti tetapi juga kepada kestabilan negara kita.

Penulis faham, untuk menjadi pemimpin sesebuah kementerian itu bukan mudah, namun seorang pemimpin perlu cekal dalam menghadapi ujian dan bukan “melarikan” diri apabila diancam cabaran.

Bayangkan situasi di mana, sekumpulan tentera sedang berjuang di medan perang, tiba-tiba Kapten kumpulan tersebut terus meletakkan senjata kerana tidak berpuas hati orang bawahannya yang gagal lulus ujian, tidak dibenarkan untuk diberikan kenaikan pangkat. Malah, Kapten tersebut bukan sahaja meletakkan senjata, tetapi juga menghantar surat untuk memohon cuti kepada pegawai atasan, sedangkan musuh sudah pun muncul dihadapan mereka.

Ini adalah analogi yang mana kita sebagai pemimpin perlu berfikir akan situasi yang lebih besar dan bertindak mengikut kepentingan bersama. Bukan terus beremosi apabila sesuatu yang kita inginkan tidak tercapai.

Jika dibandingkan dengan Saudara Saifuddin Nasution, beliau juga telah diuji pelbagai cabaran, namun kecekalan beliau sebagai pemimpin jelas apabila beliau menghadapinya setiap isu dengan tenang.

Sungguhpun pernah dikritik hebat dengan pelbagai isu yang mendatang, Saudara Saifuddin belum pernah lagi dilihat merajuk atau bertindak melulu. Malah, apabila menjawab persoalan isu semasa yang berlaku ke atas diri beliau, kata-katanya tersusun dan matang berbanding sesetengah pemimpin lain yang galak beremosi apabila dipalitkan dengan kontroversi.

Penulis tidak mengatakan bahawa Saudara Saifuddin Nasution ini adalah pemimpin yang 100% sempurna atau maksum, namun jika dilihat dari pilihan yang ada, beliau adalah pemimpin yang amat diperlukan oleh Keadilan untuk memberi khidmat sokongan kepada Presiden Keadilan pada waktu ini.

Penulis melihat ada beberapa tomahan baru yang dikaitkan dengan Saudara Saifuddin, seperti kononnya beliau adalah pemimpin Keadilan yang Pro-UMNO. Ini merupakan tomahan yang dangkal kerana, mahu atau tidak, kita semua perlu akui bahawa UMNO kini adalah sebahagian daripada kerajaan perpaduan dan sudah tentu adat dan akad berdiplomasi antara Keadilan dan UMNO itu berubah caranya berbanding semasa berseteru suatu ketika dahulu.

Sama seperti tatkala PAS bersama DAP di dalam Pakatan Rakyat, mahupun PPBM (Bersatu) dengan DAP semasa Pakatan Harapan 1.0, tona bicaranya berbeza setelah Perikatan Nasional ditubuhkan.

Penulis tidak berpihak kepada mana-mana tokoh, namun pilihan yang bijak adalah untuk meletakkan Saudara Saifuddin sebagai Timbalan Presiden Keadilan, itupun sekiranya ahli-ahli Keadilan faham dengan sebenar-benarnya apakah itu agenda Reformasi dan bukannya retorik formula jargon yang tidak berkesudahan.

Sepertimana suatu ketika dahulu pemilihan UMNO menjadi asas kepada corak pentadbiran negara, kini Keadilan pula berada pada situasi yang sama.

Ahli-ahli Keadilan perlu sedar, mereka kini memegang kepada kunci kestabilan negara, dan akibat dari pilihan mereka ini, bakal mencipta legasi sama ada diwariskan parti ini kepada pemimpin yang cekal dan matang atau dilemparkan kepada pemimpin yang lemah gemalai jiwanya.

Nota kepada pengarang: Ahmad Soffian Bin Mohd Shariff adalah seorang aktivis dan pemerhati politik yang berkelulusan Ijazah Sarjana Undang-Undang dari Universiti Teknologi MARA.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat