KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden MCA Datuk Seri Ti Lian Ker mencadangkan Nga Kor Ming untuk mempertimbangkan peletakan jawatan sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memandangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) 2025 ditarik balik buat kali kedua.
Menurut Lian Ker, ini bukan soal menghukum individu tetapi soal mempertahankan integriti jawatan menteri serta prinsip tadbir urus yang baik dan kepercayaan rakyat terhadap institusi demokrasi.
“Penarikan balik cadangan RUU URA sekiranya berlaku buat kali kedua bukan sekadar kegagalan dasar, tetapi akan mencerminkan kegagalan kepimpinan dan pertanggungjawaban menteri.
“Maka menteri yang bertanggungjawab wajar mengambil tanggungjawab politik sepenuhnya, termasuk mempertimbangkan peletakan jawatan.
“Tanpa pertanggungjawaban yang jelas, kegagalan yang sama akan terus berulang, dan rakyat akan terus menanggung akibatnya,” tegas Lian Ker.
Jelas beliau lagi, dalam sistem demokrasi berparlimen seorang menteri bertanggungjawab memastikan setiap rang undang-undang digubal melalui proses yang teliti melibatkan rundingan awam yang bermakna, penilaian impak yang menyeluruh serta mengambil kira kebimbangan rakyat dan pematuhan kepada prinsip perlembagaan.
“Kegagalan untuk melakukan perkara ini, sehingga rang undang-undang yang sama terpaksa ditarik balik buat kali kedua akan menunjukkan kecuaian serius dalam pelaksanaan tanggungjawab tersebut.
“Hakikat bahawa URA pernah ditolak sebelum ini, namun dicadangkan untuk dikemukakan semula tanpa penyelesaian tuntas terhadap isu-isu utama yang dibangkitkan membuktikan bahawa kebimbangan rakyat tidak diambil serius dan proses pembelajaran dasar telah gagal.
“Keadaan ini telah menjejaskan keyakinan awam terhadap keupayaan kementerian dan kredibiliti pentadbiran kerajaan,” katanya.
Lian Ker mengingatkan, dalam keadaan sedemikian, prinsip tanggungjawab menteri tidak boleh sekadar menjadi slogan.
“Akauntabiliti mesti dizahirkan melalui tindakan.
“Oleh itu, persoalan yang perlu dijawab secara jujur ialah -jika rang undang-undang yang sama gagal dua kali di bawah kepimpinan menteri yang sama, dan jika kelemahan asas masih berulang dan jika kepercayaan rakyat telah terhakis menteri wajar lepas jawatan,” katanya.



