Cyberjaya – Perikatan Nasional (PN) mendesak kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra), segera memberi penjelasan rasmi berhubung isu persempadanan darat Malaysia–Indonesia di kawasan Sabah–Kalimantan yang didakwa melibatkan penyerahan ribuan hektar tanah kepada republik itu.
Ketua Portfolio Hubungan Antarabangsa Ahli-Ahli Parlimen PN, Datuk Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata laporan media antarabangsa dan tempatan memetik kenyataan pihak berkuasa Indonesia mendakwa satu memorandum persempadanan darat telah ditandatangani pada 18 Februari 2025.
Menurut laporan tersebut, Malaysia didakwa menyerahkan kira-kira 5,207 hektar tanah melibatkan kawasan di Nunukan, berhampiran sempadan Sabah–Kalimantan, manakala Malaysia hanya memperoleh sekitar 4.9 hektar wilayah di Pulau Sebatik.
Wan Fayhsal mempersoalkan mengapa perkara sebesar itu tidak diumumkan secara telus kepada rakyat dan Parlimen oleh kerajaan Malaysia, sebaliknya diketahui melalui kenyataan rasmi negara jiran.
“Adalah amat mendukacitakan apabila rakyat Malaysia terpaksa mengetahui status kedaulatan tanah air sendiri melalui media asing dan kenyataan menteri negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mempersoalkan ketiadaan sebarang kenyataan rasmi daripada Wisma Putra sehingga kini bagi menjelaskan terma-terma memorandum yang ditandatangani, termasuk kemungkinan wujudnya klausa kerahsiaan.
Selain itu, Wan Fayhsal menuntut penjelasan berhubung status pentadbiran dan kerakyatan penduduk Malaysia yang mungkin terkesan di kawasan sempadan terbabit, serta sejauh mana rundingan tersebut menjaga kepentingan sosio-ekonomi rakyat Sabah.
Mengulas perbezaan ketara keluasan wilayah yang dilaporkan, beliau berkata kerajaan wajib membentangkan rasional teknikal dan diplomatik bagi mengelakkan persepsi bahawa kedaulatan negara telah dikompromi.
“Kedaulatan wilayah bukan sekadar angka di atas kertas, ia adalah maruah negara. Kerajaan tidak boleh mengamalkan diplomasi pintu belakang dalam isu sempadan negara,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau mendesak Menteri Luar Negeri segera mengeluarkan kenyataan rasmi dan membentangkan kertas putih di Parlimen bagi menjelaskan fakta sebenar isu persempadanan tersebut.



