KUALA LUMPUR – Era di mana “Kerajaan tahu segalanya” telah berlalu, hakikatnya hari ini sebuah Kerajaan yang baik kita mesti mendengar, menyantuni, dan memahami denyut nadi rakyat.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, anggota kerajaan tidak boleh hanya merancang dari pejabat yang selesa tetapi kita perlu turun ke lapangan, berinteraksi dengan masyarakat, dan memastikan setiap dasar yang dirangka benar-benar membawa perubahan yang bermakna buat rakyat.
“Jika kita ingin menjadi yang terbaik, kita tidak boleh terperangkap dalam kebiasaan.
“Rakyat sentiasa menilai keberkesanan perkhidmatan kerajaan, lebih-lebih lagi dengan kepesatan media sosial yang tiada sempadan,” katanya ketika berucap di Konvensyen Pegawai Lapangan Risda 2025 di Bangi pada Khamis.
“Sebab itulah pada hemah saya, saudara-saudari sekalian adalah barisan hadapan Risda, anda semua bukan sekadar penjawat awam, tetapi wira pembangunan desa. Anda adalah mata yang melihat realiti di lapangan, telinga yang mendengar rintihan, dan suara yang membawa harapan.
“Tugas anda bukan hanya menyampaikan bantuan, tetapi menyentuh kehidupan lebih 500,000 pekebun kecil getah di seluruh negara.
“Oleh itu, peranan anda amat besar menjadi penggerak perubahan, pemacu kemajuan, dan benteng kekuatan bagi pekebun kecil di seluruh negara,” ujarnya.
Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan, dalam era digitalisasi, perubahan radikal bukan pilihan, tetapi keperluan.
“Kita mesti mengadaptasi teknologi untuk meningkatkan kecekapan, ketelusan, dan daya responsif terhadap penyampaian perkhidmatan.
“Atas dasar ini, saya telah mengarahkan KKDW, agensi dan LKW untuk memperkukuhkan dashboard, bank data, dan digital mapping. Dengan ini, setiap projek pembangunan boleh dinilai secara real-time, memastikan setiap keputusan berdasarkan data yang tepat.
“Saya dimaklumkan bahawa Risda telah mengambil langkah awal dengan menubuhkan Risda Command Center (RCC) – pusat pemantauan bersepadu yang membolehkan
pelaporan pembangunan dijalankan secara langsung di seluruh negara. That’s a good start!
“Saya yakin inisiatif ini akan menjadi game changer, memastikan bantuan sampai dengan lebih cepat, sistematik, dan berkesan. Kita tidak boleh lagi bergantung kepada sistem lama … kita mesti terus maju dan mencari ruang untuk menjadi lebih baik.
“Masa depan ini juga menuntut Risda untuk melangkah lebih jauh. Kita perlu memperkasakan tenaga kerja dalam AI, pendigitalan, dan tenaga boleh diperbaharui.
“Bayangkan jika Risda memiliki pakar AI dan analitik data sendiri – ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada tenaga luar, tetapi juga mampu memangkin inovasi dalam sektor getah,” kata beliau lagi.
Mengulas lanjut Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, “percayalah Risda berada di ambang perubahan besar.
“Jika kita tidak bertindak dengan pantas dan berani, kita akan terus ketinggalan. Dahulu, Malaysia pernah menjadi pengeluar getah nombor satu dunia, menyumbang 50 peratus bekalan getah dunia.
“Namun hari ini, kita jauh ditinggalkan, dengan negara jiran kini menghasilkan 1/3 daripada pengeluaran global.
“Tetapi ini bukan titik noktah – ini hanya rintangan dalam perjalanan kita! Insya-Allah dengan kepimpinan yang berani dan kesungguhan kita semua, saya yakin kita mampu mengembalikan kegemilangan industri getah negara,” kata Zahid.