Perjuangan muzik UNC

- Advertisement -

MUNCUL dengan single Akhirnya pada hujung September tahun lalu, kumpulan baharu dikenali Uncle Naz Cabin atau UNC akur perlu mencari arah untuk mengembangkan bakat muzik mereka.

Ia berikutan sejak tahun lalu hingga kini negara masih berdepan penularan Covid-19, sekali gus turut menjejaskan industri hiburan terutama persembahan nyanyian.

Justeru, secara tidak langsung perancangan sudah diatur kumpulan UNC untuk aktiviti promosi secara menyeluruh lagu Akhirnya hasil ciptaan Muhammad Fadhlan tidak kesampaian.

Dianggotai Alan selaku penyanyi, Ami (gitar), Aposh (bass), Ateem (keyboard) dan Naufal (dram), anak muda yang semuanya minat bermain muzik ini tekad enggan patah semangat.

Alan berkata, dengan dugaan yang perlu dihadapi ini terutama bagi penggiat seni muzik seperti mereka, hanya mampu bersabar dengan harapan yang positif.

“Kalau nak difikirkan sangat, bukan kami saja yang terkesan dari segi kerjaya dan promosi lagu, tetapi ramai juga penyanyi baharu lain turut mengalaminya.

“Semua ini bergantung kepada rezeki. Jadi, untuk kami pula mungkin pengenalan lagu Akhirnya ini dibuat pada masa kurang tepat. Tak sangka pula seluruh dunia berdepan krisis pandemk ini,” katanya.

Menurut Alan, dengan apa yang dilalui itu menyedarkan mereka betapa bukan senang untuk mengorak langkah sehingga mencapai kejayaan dan mereka perlu terus berusaha.

“Kami sepakat takkan kecewa atau cepat berputus asa. Kami masih muda dan perjalanan dalam kerjaya ini masih jauh. Lebih utama adalah terus mendapat peluang.

“Kami nekad untuk terus berkarya menghasilkan lagu yang sesuai dengan jiwa dan perjuangan muzik kumpulan UNC. Kami juga mahu terokai pelbagai genre muzik.

“Pada masa kini, tidak boleh terikat dengan satu genre muzik sahaja. Jadi, dalam penghasilan lagu juga kumpulan UNC sedia mencuba gabungan muzik baharu dan lebih segar,” katanya.

Menurut Alan, dia yang berjinak-jinak dalam bidang penciptaan lagu tidak berasa sukar untuk mendapat ilham.

Katanya, melodi untuk sesebuah lagu itu boleh diperoleh segera, tetapi penulisan lirik yang perlu lebih teliti.

Katanya, lirik ditulis kena dekat dengan hati supaya penceritaan lagu itu mudah difahami.

Sebagai penyanyi, penting untuk memahami jalan cerita sesebuah lagu bagi menterjemahkan emosi.

“Apapun lagu membabitkan kisah cinta agak mudah dijiwai kerana ia menggambarkan perasaan sedih dan gembira. Kalau sedih, tentu putus cinta dan gembira pula pasti dalam kebahagiaan.

“Untuk lagu Akhirnya ini, ia mengisahkan percintaan yang diilham berdasarkan kisah benar. Apa yang berlaku dalam hubungan digambarkan itu, ideanya datang daripada cerita dalam kalangan kami sendiri,” katanya.

Muzik video lagu Akhirnya yang dimuat naik di saluran YouTube Rusa Music sejak tiga bulan lalu baharu mencatat lebih 27,0000 tontonan.

Harian metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat