Mursyidul Am Pas tolak cadangan Muhyiddin calon tunggal PM untuk PN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Mursyidul Am Pas Datuk Hashim Jasin berpandangan parti Islam itu lebih layak memimpin Perikatan Nasional (PN).

Beliau sekali gus menolak cadangan supaya Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai calon perdana menteri gabungan berkenaan.

Menurut Hashim, Pas layak memimpin kerana wakil rakyatnya paling ramai di Parlimen dan mempunyai jentera akar umbi yang kuat di seluruh negara.

“Meskipun Pas (pemimpin) hanya timbalan di dalam PN namun rekod kita di dalam Parlimen juga saya lihat lebih ke depan selain kerja-kerja masyarakat dan dalam apa-apa jua berlaku,” lapor Utusan di Perlis.

Menambah lagi keyakinan beliau itu, Hashim menegaskan Pas juga tiada rekod atau masalah lompat parti berbanding Bersatu yang sekarang terbukti banyak kepincangan.

Untuk rekod, Pas ketika ini memiliki jumlah kerusi Parlimen terbesar dalam PN iaitu 43, lebih 18 berbanding sekutunya Bersatu.

Parti itu juga memerintah Perlis, Kedah, Terengganu, dan Kelantan.

Bersatu pula memenangi 31 kerusi Parlimen pada PRU 2022 tetapi kini tinggal 25 selepas enam Ahli Parlimennya berpaling tadah dan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Hashim mengulas kenyataan terbaru Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang Muhyiddin adalah calon tunggal jawatan perdana menteri bagi gabungan pembangkang pada PRU akan datang.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu,Datuk Wan Saiful Wan Jan pula dipetik berkata, Muhyiddin harus kekal sebagai ‘poster boy’ untuk PN bagi menghadapi PRU16 susulan kemenangannya sebagai presiden Bersatu pada pemilihan parti awal bulan ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata tiada persoalan mengenai kedudukan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri PN.

Bagaimanapun, Hashim berkata Bersatu tidak boleh membelakangi Pas dalam menentukan jawatan penting itu melainkan ia keputusan yang dipersetujui secara bersama.

Katanya, bagi menentukan jawatan nombor satu jika PN menang dalam PRU16 perlulah diteliti panjang terlebih dahulu berdasarkan kenyataan dan hakikat.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat