Konsep Keluarga Malaysia beri gambaran kestabilan, sumbang kemenangan BN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR; Mandat yang diberikan oleh pengundi Melaka kepada Barisan Nasional (BN) untuk kembali menerajui pentadbiran kerajaan negeri membuktikan bahawa rakyat secara umumnya mahukan kestabilan politik dalam memastikan kemajuan dan kemakmuran dicapai.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Mujibu Abd Muis berkata konsep Keluarga Malaysia dilihat diterima ramai, sekali gus memberi bayangan akan wujudnya kestabilan dalam negara.

“Apa yang berlaku sebelum ini tidak ada kestabilan politik, yang telah menyebabkan kemelut politik tidak berkesudahan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Geostrategis Dr Azmi Hassan pula berkata faktor Keluarga Malaysia, Bajet 2022 dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) juga boleh dikaitkan secara tidak langsung sebagai antara faktor kemenangan BN, yang menambah keyakinan pengundi kepada parti itu untuk mentadbir kerajaan.

“Apabila kerajaan stabil dan cekap maka setiap perancangan, dasar dapat dilakukan pada tahap terbaik…dan BN dianggap contoh terbaik menonjolkan imej Keluarga Malaysia apabila memberi peluang kepada kompenannya, MIC untuk bertanding di satu kerusi dan MCA di tujuh kerusi pada PRN Melaka,” katanya.

Turut senada, penganalisis politik Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain yang berpandangan perubahan tampuk pimpinan dikhuatiri akan menjejaskan semua pembangunan dirancang.

Mohd Izani berkata perancangan pembangunan yang telah disusun seperti 990 projek pembangunan bernilai RM13.8 bilion di Melaka sepanjang tempoh RMK12, antara yang menjadi tarikan kepada rakyat dalam situasi ekonomi yang mencabar.

“Rakyat memerlukan pembangunan yang memberikan peluang pekerjaan dan perniagaan bagi menjana pendapatan mereka,” katanya.

Tambahnya konsep Keluarga Malaysia yang mengutamakan nilai kasih sayang, prihatin dan empati juga dilihat semakin diterima masyarakat dan perlu diperkasa dalam menjadi alat perpaduan dalam kalangan rakyat.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,612FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat