KUALA LUMPUR,– Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menegaskan bahawa cabaran kekurangan tenaga di Sabah bukan sekadar isu teknikal, tetapi peluang strategik untuk memperkukuh pelaburan dalam sektor tenaga baharu dan boleh diperbaharui di negeri itu.
MITI dalam satu kenyataan berkata, kerajaan bersedia menyokong pelaburan asing dan domestik dalam projek tenaga seperti hidroelektrik, solar, angin dan sistem penyimpanan bateri bagi memastikan keperluan tenaga Sabah dapat dipenuhi sambil menjana pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan.
“Pelaburan dalam industri tenaga bersih bukan sahaja memenuhi permintaan tenaga wilayah, tetapi turut membuka ruang pembangunan ekonomi baharu yang mampan,” kata MITI ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin, dalam Kamar Khas Parlimen.
MITI menjelaskan, Sabah mempunyai potensi tinggi untuk melakukan lonjakan ekonomi berasaskan strategi pembangunan holistik yang digariskan dalam dasar nasional seperti Kerangka Ekonomi Madani, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Hala Tuju Industri Keluli 2035 (SIR 2035).
Empat strategi utama digariskan bagi melonjakkan ekonomi Sabah, iaitu memperkukuh infrastruktur moden, memperluas pelaburan tenaga bersih, menggalakkan pembangunan industri hijau dan memperkukuh ekosistem pelaburan domestik.
Menurut MITI, pembangunan infrastruktur moden seperti jalan raya, jambatan, lapangan terbang, pelabuhan, rangkaian kereta api serta infrastruktur digital dan utiliti adalah asas kepada pertumbuhan pelaburan dan penciptaan pekerjaan baharu di Sabah.
Bagi tahun 2025, kerajaan telah memperuntukkan RM6.9 bilion untuk menaik taraf prasarana asas termasuk jalan raya, elektrik dan bekalan air bersih. Projek naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Tawau turut dijangka meningkatkan keupayaan logistik dan pelancongan negeri.
Selain itu, Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar (Sapangar Bay Container Port – SBCP) sedang dinaik taraf dengan peningkatan kapasiti tahunan daripada 500,000 TEU kepada 1.25 juta TEU menjelang 2027. Projek ini turut disertai pembinaan jalan khas menghubungkan pelabuhan ke Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) bagi menyokong peningkatan trafik industri.
Di bawah dana menaik taraf taman perindustrian pula, peruntukan turut disalurkan kepada KKIP, Palm Oil Industrial Cluster (POIC) Lahad Datu, Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) serta Kawasan Perindustrian Kampung Patikang.
MITI turut menekankan kepentingan teknologi hijau dalam memastikan pembangunan industri seiring dengan pemeliharaan alam sekitar. Sabah kekal sebagai satu-satunya negeri di Malaysia yang tidak menggunakan arang batu sebagai sumber tenaga, menjadikan negeri itu antara wilayah paling hijau di rantau ini.
Bagi menggalakkan pelaburan hijau, Galakan Cukai Teknologi Hijau dilanjutkan hingga 31 Disember 2026. Sabah yang merupakan pengeluar minyak sawit mentah terbesar negara juga berpotensi besar membangunkan industri hiliran berasaskan biojisim sawit seperti biofuel, pelet, biokimia dan baja.
MITI turut memaklumkan bahawa agensi di bawahnya seperti MIDA bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah (MIDE), Invest Sabah Berhad (ISB), SEDIA dan Koridor Ekonomi Wilayah Sabah (SDC) untuk menarik pelabur asing melalui sesi libat urus dan koordinasi tapak pelaburan.
Dalam tempoh separuh pertama 2025, Sabah merekodkan pelaburan berjumlah RM11.37 bilion melibatkan 82 projek baharu yang dijangka menjana hampir 2,000 peluang pekerjaan, dengan sektor produk logam asas menyumbang lebih separuh daripada jumlah pelaburan tersebut.
MITI turut memperkenalkan Kerangka Insentif Pelaburan Baharu (New Investment Incentive Framework – NIIF) bagi memperkukuh mekanisme pemberian insentif pelaburan yang memberi tumpuan kepada aktiviti bernilai tinggi dan wilayah kurang membangun termasuk Sabah.
“Melalui empat strategi utama ini, Sabah bukan sahaja bersedia untuk melonjakkan ekonomi domestiknya, tetapi turut muncul sebagai hab pelaburan strategik dan tenaga hijau bagi rantau Borneo,” jelas MITI



