MANDIRI kecam tindakan menahan dua pegawainya di bawah AMLA selepas beri keterangan

September – MANDIRI mengecam penahanan dua pegawai kanannya selepas mereka selesai memberikan keterangan kepada Unit Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman hari ini.

Dua individu berkenaan ialah Pegawai Eksekutif MANDIRI, Amir Hariri Abd Hadi dan Pengarah Kewangan MANDIRI yang juga Ketua Pegawai Operasi HAYAT, Dobby Chew.

Menurut MANDIRI, kedua-duanya ditahan selepas memberikan kerjasama penuh sepanjang siasatan, termasuk hadir sendiri ke Bukit Aman pada 14 September lalu.

Mereka juga hadir ke Unit AMLA, JSJK Bukit Aman pada 17 September bagi mendapatkan penjelasan mengenai asas pembekuan akaun bank dan sekatan perjalanan yang dikenakan terhadap mereka.

“Semasa serbuan ke atas pejabat MANDIRI dan HAYAT oleh pihak polis pada 18 September, kerjasama tetap diberikan dengan menyerahkan semua dokumen yang diminta walaupun pihak polis tidak memberikan sebarang kesalahan predikat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MANDIRI berkata, polis menyerahkan notis berhubung pembekuan akaun serta arahan supaya Amir dan Dobby hadir memberikan keterangan pada 22 September ketika bertemu mereka semalam.

Kedua-duanya kemudian hadir seperti diarahkan dan sekali lagi meminta pihak polis menjelaskan kesalahan predikat yang menjadi asas siasatan tersebut.

Bagaimanapun, menurut MANDIRI, penjelasan mengenainya tidak diberikan oleh pihak polis.

“Walau bagaimanapun, mereka tetap memberikan kerjasama dan memberikan keterangan. Namun selepas selesai memberikan keterangan, Amir dan Dobby telah ditahan.

“Kami dimaklumkan oleh pihak polis bahawa mereka ditahan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001,” katanya.

MANDIRI mendakwa penahanan berkenaan sebagai layanan dua darjat kerana kedua-dua pegawainya telah memberikan kerjasama penuh sejak siasatan bermula.

Menurut pertubuhan itu, terdapat pemimpin politik yang berdepan dakwaan penyelewengan membabitkan ratusan juta ringgit tetapi hanya disiasat tanpa ditahan.

MANDIRI turut membangkitkan dakwaan mengenai pihak yang dikaitkan dengan isu “mafia korporat” tetapi masih belum dibawa ke muka pengadilan.

Pertubuhan itu mendakwa penahanan Amir dan Dobby merupakan sebahagian daripada tekanan berterusan terhadap MANDIRI dan HAYAT susulan usaha mereka menyuarakan isu rasuah serta dakwaan berkaitan “mafia korporat” sejak Januari lalu.

“Sekiranya ia dilakukan untuk menekan kami daripada terus menyuarakan isu rasuah dan salah guna kuasa, ia sama sekali tidak akan meruntuhkan kami.

“Kami berdiri teguh di belakang rakan-rakan kami dan menuntut supaya Amir dan Dobby dibebaskan dengan kadar segera,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat