KUALA LUMPUR — ASEAN GeoAI Fusion 2026 menjadi platform penting dalam memperkukuh pembangunan bakat, inovasi dan kepakaran kecerdasan buatan (AI) serta teknologi geospatial di rantau ASEAN.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, program anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama ASEAN itu berjaya menarik lebih 1,100 peserta sebelum 17 pasukan yang terdiri daripada 48 peserta mara ke peringkat akhir.
Menurutnya pencapaian itu membuktikan minat yang semakin meningkat terhadap AI dan teknologi geospatial, selain memperlihatkan potensi bakat serta kreativiti peserta dari seluruh rantau.
“Persaingan AI global semakin pantas dan ASEAN tidak boleh ketinggalan. Jika kita mahu kekal berdaya saing, kita perlu bergerak melangkaui peranan sebagai pengguna teknologi kepada pencipta idea baharu, pembina harta intelek dan penghasil penyelesaian yang memenuhi keperluan rantau kita,” katanya dalam ucapan pada Majlis Penutupan ASEAN GeoAI Fusion 2026 di Hyatt Place, Bukit Jalil, hari ini.
Beliau berkata, peserta turut menghasilkan penyelesaian berasaskan GeoAI bagi menangani cabaran dunia sebenar termasuk kesiapsiagaan bencana, pengurusan alam sekitar, perancangan infrastruktur, kelestarian dan keterangkuman digital.
Teo berkata teknologi tidak seharusnya dilihat sebagai matlamat semata-mata, sebaliknya perlu memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
“Dengan menggabungkan AI dan data geospatial, pihak berkuasa dapat meramalkan risiko banjir dengan lebih baik, memberikan amaran lebih awal kepada masyarakat dan menempatkan sumber kecemasan dengan lebih berkesan,” katanya.
Jelasnya cabaran seperti bencana berkaitan iklim, tekanan alam sekitar, keterhubungan digital dan pembangunan infrastruktur merentasi sempadan negara, justeru memerlukan kerjasama serantau.
“Tiada satu negara pun mampu menangani cabaran ini secara bersendirian. Dengan menghimpunkan bakat, kepakaran dan perspektif dari seluruh ASEAN, kita dapat membangunkan penyelesaian yang lebih berkesan dan lebih sesuai dengan keperluan rantau kita,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata ASEAN perlu bergerak daripada sekadar menjadi pengguna teknologi kepada pencipta idea baharu, pembina harta intelek dan penghasil penyelesaian yang memenuhi keperluan rantau ini.
Katanya, Malaysia juga akan terus menyokong penggunaan dan pembangunan AI secara bertanggungjawab sebagai pemacu transformasi digital, inovasi serta pertumbuhan inklusif.
Beliau turut memaklumkan Projek WiFi Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) yang dilaksanakan MCMC melibatkan 539 lokasi di seluruh negara dengan peruntukan RM664 juta di bawah inisiatif Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP).
Projek berkenaan bertujuan menaik taraf infrastruktur digital serta meningkatkan keterhubungan internet di kampus universiti awam dan dijangka siap sepenuhnya pada September.
Teo berkata, berakhirnya ASEAN GeoAI Fusion 2026 bukan penamat kepada usaha peserta, sebaliknya permulaan kepada perjalanan lebih besar dalam bidang penyelidikan, keusahawanan, industri dan perkhidmatan awam.
“Pertandingan ini mungkin berakhir, tetapi kerja sebenar bermula sekarang. Hubungan yang telah dibina, pengetahuan yang diperoleh dan idea yang dihasilkan mempunyai potensi untuk memberikan impak bermakna jauh melangkaui program ini,” katanya.
ASEAN GeoAI Fusion 2026 turut menyediakan ruang perkongsian pengetahuan dan pembinaan rangkaian antara peserta, industri, akademia, kerajaan serta rakan strategik bagi memperluas penggunaan teknologi GeoAI di Malaysia dan rantau ASEAN.


