SEREMBAN, – Undang Yang Empat mengingatkan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara supaya tidak mencampuri urusan pemerintahan Negeri Sembilan, khususnya berkaitan kuasa memilih dan menurunkan Yang di-Pertuan Besar.
Dalam kenyataan media bersama hari ini, Undang Yang Empat menegaskan kuasa berkenaan merupakan hak adat dan prerogatif mereka yang termaktub di bawah Perkara 7, Perkara 10 dan Perkara 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Undang Luak Sungai Ujong, Dato’ Klana Petra Dato’ Mubarak Thahak; Undang Luak Jelebu, Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman Dato’ Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Dato’ Muhammed Abdullah; Undang Luak Rembau, Dato’ Sedia Raja Dato’ Abdul Rahim Yasin dan Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri.
Mereka menyifatkan dakwaan bahawa penurunan takhta Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir dilakukan oleh Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) sebagai fitnah yang dirancang demi kepentingan pihak tertentu.
Menurut kenyataan itu, Menteri Besar dan EXCO tidak mempunyai kuasa memilih atau menurunkan Yang di-Pertuan Besar, sebaliknya hanya melaksanakan tanggungjawab perlembagaan bagi mematuhi ketetapan Undang Yang Empat di bawah Perkara 10 UUTKNS 1959.
“YAB Menteri Besar dan EXCO sama sekali tidak mempunyai kuasa itu, sebaliknya hanya melaksanakan tugas perlembagaan bagi mematuhi ketetapan Kami selaku YTM Undang Yang Empat di bawah Perkara 10 UUTKNS 1959,” menurut kenyataan tersebut.
Undang Yang Empat turut mengecam sebarang usaha pihak tertentu yang didakwa cuba mencabuli prerogatif dan hak perlembagaan mereka di Negeri Sembilan.
Mereka menegaskan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara tidak mempunyai bidang kuasa untuk campur tangan dalam urusan tersebut.
Menurut kenyataan itu, sebarang pertikaian mengenai hak menaiki takhta sebagai Raja sesebuah negeri hendaklah diputuskan oleh pihak berkuasa dan mengikut kaedah yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Negeri, sebagaimana dijamin Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan.
Perkara 71(1) antara lain memperuntukkan bahawa Persekutuan hendaklah menjamin hak Raja sesebuah negeri untuk menaiki takhta serta menjalankan hak dan keistimewaan baginda mengikut Perlembagaan Negeri.
Undang Yang Empat mendakwa campur tangan yang tidak berperlembagaan, sekiranya diteruskan, boleh dianggap sebagai pelanggaran sumpah jawatan Perdana Menteri di bawah Jadual Keenam serta bercanggah dengan tanggungjawab Persekutuan di bawah Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan.
Mereka turut mengingatkan parti politik dan pihak luar yang tidak mempunyai kaitan dengan adat Melayu serta urusan pemerintahan Negeri Sembilan supaya tidak mengambil kesempatan terhadap pertikaian yang sedang berlaku.
“Adat yang telah diamalkan ini telah berlangsung lebih daripada 500 tahun, sudah tentulah Kami selaku Pemerintah dan Ketua Adat lebih memahami apa yang berlaku. Hanya jauhari mengenal manikam,” menurut kenyataan itu.
Dalam perkembangan sama, Undang Yang Empat menegaskan arahan Tuanku Muhriz untuk memberhentikan barisan EXCO Negeri Sembilan sebagai salah, tidak berperlembagaan dan tidak mempunyai kuat kuasa.
Kenyataan itu mendakwa tindakan tersebut merupakan cubaan menyabotaj keputusan kolektif EXCO serta menghalang Raja Pemerintah Negeri Sembilan menjalankan pemerintahan.
Menurut mereka, sebarang keputusan mengenai kedudukan EXCO di bawah UUTKNS 1959 perlu dibuat dan dilaksanakan atas nasihat Menteri Besar dan/atau Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Undang Yang Empat turut menegaskan Tuanku Muhriz telah diturunkan daripada takhta menurut Perkara 10(1) dan 10(2) UUTKNS 1959 pada 19 April lalu.
Proklamasi berhubung keputusan itu kemudiannya ditandatangani Menteri Besar pada 3 Ogos 2026.
Menurut kenyataan tersebut, proklamasi penurunan takhta berkenaan telah sempurna menurut adat dan UUTKNS 1959 serta tidak memerlukan pewartaan untuk berkuat kuasa.
Mereka turut menasihatkan Tuanku Muhriz supaya menerima keputusan tersebut dan berundur secara terhormat.
Pada masa sama, semua penjawat awam negeri diseru supaya tidak tunduk kepada tekanan mana-mana pihak, sebaliknya mematuhi ketetapan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Mereka diminta memberikan taat setia kepada Tuanku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar yang dinyatakan dalam kenyataan itu sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-12 dan Raja Pemerintah yang sah selaras dengan Perkara 11 dan Perkara 28 UUTKNS 1959.
Undang Yang Empat turut merujuk Perkara 35 UUTKNS 1959 yang menetapkan kuasa pemerintahan negeri tertakluk kepada Raja dan hendaklah dilaksanakan atas nama Raja Pemerintah.
Dalam pada itu, rakyat Negeri Sembilan diminta supaya kekal tenang dan tidak terpengaruh dengan provokasi atau penyebaran maklumat tidak sahih sepanjang proses peralihan kuasa tersebut.
“Adat bersendi hukum, hukum bersendi syarak, syarak bersendi Kitabullah. Biar mati anak, jangan mati adat,” menurut kenyataan itu.



