KUALA LUMPUR – Sentimen pengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bergantung kepada ketelusan pihak berkuasa dalam proses mencari keadilan kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr Romzi Ationg berkata, kes tersebut boleh memberi kesan corak pengundian rakyat Sabah terhadap parti politik yang bertanding terutama blok kerajaan negeri yang kini dipimpin Datuk Seri Hajiji Nor.
Katanya, ini kerana kes tersebut secara tidak langsung membuka ruang kepada pihak tertentu untuk mewujudkan sentimen dan persepsi negatif menjelang PRN.
“Proses mencari keadilan perlu dilaksanakan dengan penuh integriti dan telus bagi mengelakkan persepsi buruk.
“Usaha menangani isu ini perlu dilakukan secara berhemah, tegas dan telus.Pihak berwajib harus mengekang persepsi kurang baik yang sedang merebak dengan segera,” katanya memetik Utusan.
Zara Qairina meninggal dunia pada 17 Julai lalu di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri di asrama sekolahnya.
Kematian pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar itu mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat di seluruh negara selain turut mendapat perhatian netizen luar negara yang menzahirkan sokongan berdasarkan perkongsian di media sosial sejak minggu lalu.
Kematian arwah juga menerima simpati pelbagai pihak yang mahu pihak berkuasa menyiasat kes terbabit secara menyeluruh bagi merungkai kebenaran insiden berkenaan.
Romzi berkata, impak politik dijangka tidak sebesar sebagaimana yang digembar-gemburkan sebelum ini lebih-lebih lagi dengan pelbagai spekulasi yang tercetus di media sosial.
Katanya, isu tersebut mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pelbagai bangsa dan agama.



