“Sebenarnya Muhyiddin tak cukup jumlah pun nak jadi PMX, cuma ada 105 SD” – Zahid
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan bahawa Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mempunyai jumlah sokongan yang mencukupi untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 sekali gus tidak layak membentuk kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Presiden Umno merangkap Pengerusi BN itu memaklumkan Muhyiddin sekadar memiliki 105 Akuan Berkanun (SD) Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada Presiden Bersatu itu untuk dilantik sebagai Perdana Menteri selepas PRU-15 dan jumlah berkenaan tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan di Putrajaya.
“Apa yang dibalingkan oleh beliau ini saksi hidup, setiausaha Agung Umno, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki saksi hidup. 115 SD yang dikatakan ada itu termasuk 10 SD daripada Ahli Parlimen (BN) yang menandatangani dua SD.
“Dengan BN pun dia tandatangan, dengan PN pun mereka tandatangan. Itu sebabnya jumlah sebenar hanya ada 105 SD sahaja.
“105 SD tidak cukup nak bentuk kerajaan,” jelas Zahid ketika sidang media pada Khamis.
Timbalan Perdana Menteri itu juga menyatakan,setiap calon Parlimen BN perlu tandatangan tiga dokumen.
“Satu menyerahkan sepenuhnya kuasa kepada Pengerusi BN untuk membentuk kerajaan atau mewujudkan kerajaan campuran atau sebab tindakan bagi ke arah pembentukan kerajaan.
“Kedua menandatangani dokumen bahawa kerusi yang dimenangi itu adalah kerusi parti dan bukannya individu.
“Dokumen ketiga jika mereka keluar parti atau menyokong pihak lain, mereka mesti membayar RM100 juta denda,” jelas beliau.
Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata lagi, ketiga-tiga dokumen ini ditandatangani dan ianya ditandatangani dengan rakaman video dihadapan pesuruhjaya sumpah bersama tiga orang peguam.
“Jadi bagaimana kalau berlaku gila talak itu mahu menafikan situasi sebenarnya.
“Sebenarnya dia (Muhyiddin) tidak cukup jumlah kerusi,” katanya.
Semalam, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyerahkan beberapa dokumen kepada polis sepanjang tempoh sejam memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R (Raja, agama dan kaum).
Beliau berkata, dokumen itu adalah dua surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat bertarikh 20 November 2022, yang mengandungi titah perintah Yang di-Pertuan Agong Ke-16 meminta mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang lain untuk menjadi Perdana Menteri menghantar Akuan-Akuan Berkanun kepada Istana Negara selewat-lewatnya pada 21 November 2022 sebelum jam 2 petang.
Katanya, dokumen kedua adalah 114 Akuan Berkanun Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang telah diserahkan kepada Istana Negara pada 21 November 2022, jam 1.28 tengah hari, sebelum tempoh asal ditetapkan tamat dan satu lagi Akuan Berkanun yang diserahkan kepada Istana Negara pada 22 November 2022.
Selain itu katanya, turut diserahkan Surat Akuan Penerimaan Akuan Berkanun daripada Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Kolonel (B) Datuk Nazim Mohd Alim, bertarikh 21 November 2022 yang mengesahkan bahawa beliau telah menerima dokumen-dokumen tersebut serta dokumen lain yang berkaitan.