KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menyangkal dakwaan bahawa kerajaan akan memansuhkan subsidi gas petroleum cecair (LPG).
Tegas Armizan, dakwaan tersebut adalah kenyataan yang tidak tepat serta mengelirukan.
“Mandat yang diberikan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) adalah untuk menangani ketirisan dalam bentuk penyelewengan dan penyeludupan dan tidak sesekali untuk menarik apatah lagi memansuhkan subsidi LPG.
“Malah kerajaan terus komited menyalurkan subsidi silinder LPG kepada rakyat, namun asasnya adalah subsidi kepenggunaan, subsidi dapur rakyat,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau membuat penafian tersebut bagi menjawab soalan tambahan Young Syefura Othman (PH- Bentong) bahawa terdapat dakwaan kerajaan akan menarik balik atau memansuhkan subsidi berkenaan.
Armizan menjelaskan, kerajaan prihatin terhadap sektor perniagaan makanan dan minuman mikro dan kecil yang memerlukan bantuan berkenaan.
“Maka kerajaan sentiasa terbuka untuk membenarkan sektor perniagaan mikro dan kecil ini untuk terus memanfaatkan subsidi ini.
“Namun sekiranya alasan mereka adalah untuk menawarkan harga yang berpatutan, maka, harap dapat dipastikan harga makan dan minuman juga harga rakyat dan bukan harga premium,” katanya.
Sehubungan itu, tambah Armizan, komitmen kerajaan akan diterjemahkan menerusi pindaan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 2021 untuk membolehkan adanya kejelasan undang-undang dalam memperkenalkan mekanisme kawalan.
Dalam pada itu, menjawab soalan asal bagaimana kementerian memastikan penguatkuasaan penjualan tong gas bersubsidi yang selama ini disalah guna oleh pihak industri supaya tidak menyebabkan kenaikan kos harga barang, Armizan berkata, KPDN sentiasa memperkukuhkan kerjasama dengan rakan-rakan strategik penguatkuasaan.
Namun katanya, ketangkasan penguatkuasaan bukan faktor tunggal yang boleh menjamin keberkesanan agenda menangani ketirisan melalui penyeludupan dan penyelewengan.
“Ia perlu disertai dengan aspek pengurusan risiko ketirisan iaitu strategi dan pendekatan yang boleh menutup ruang dan risiko berlakunya penyeludupan dan penyelewengan.
“Sehubungan itu, KPDN sedang melaksanakan sesi libat urus untuk mendapatkan syor dan pandangan pelbagai pihak bagi memuktamadkan cadangan pindaan kepada Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021.
“Kerajaan akan memastikan aspek kawalan dan penguatkuasaan dapat diperkasakan dan pada yang sama Kerajaan akan terus menyalurkan subsidi kepada rakyat,” tegasnya.



