Wanita Umur 100 Tahun Dicucuk Vaksin

- Advertisement -

KENINGAU: Seorang warga tua berumur 100 tahun adalah antara 78 penerima pertama vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Daerah Kecil Sook, di sini, yang dibuka bermula semalam.

Warga tua terbabit, Kuyinin Balansing, dari Kampung Kabatang Baru, Tulid diberikan vaksin sejurus selepas menghadiri sesi temujanji penyakit tidak berjangkit (NCD) di Klinik Kesihatan Sook.

Kehadiran Kuyinin menarik perhatian petugas PPV dari Klinik Kesihatan Sook yang kemudian memuat naik gambar dan catatan ringkas mengenai program imunisasi di PPV berkenaan melalui laman Facebook klinik terbabit.

Hantaran mengenai warga tua berkenaan mendapat reaksi positif netizen yang rata-ratanya memuji beliau kerana tampil menerima vaksin selain mengagumi kesihatannya hingga beliau mampu mencapai usia seabad.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin, ketika meninjau PPV berkenaan semalam, berkata pembukaan PPV itu adalah antara langkah proaktif kerajaan bagi memastikan rakyat luar bandar mendapat vaksin COVID-19 secepat mungkin.

“Pembukaan PPV ini memudahkan penduduk dari kawasan pedalaman hadir menerima vaksin, selain membolehkan masyarakat luar bandar mendapat maklumat yang sahih mengenai program vaksinasi yang dilaksanakan di seluruh negara.

“Malah, mana-mana penduduk yang belum mendaftar sebagai penerima vaksin akan didaftarkan terus tanpa melalui aplikasi MySejahtera,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook.

Ellron turut menyumbangkan sebuah komputer riba dan dua unit pengesan suhu untuk kegunaan petugas barisan hadapan di PPV berkenaan yang diterima Pegawai Kesihatan Kawasan Keningau, Dr Mohd Norhaizam Ahmad.

PPV Sook yang beroperasi di Dewan Masyarakat Sook memudahkan penerima vaksin dari sekitar daerah kecil itu dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid hadir ke pusat vaksin berkenaan berbanding ke PPV di pekan Keningau yang jaraknya kira-kira 40 kilometer dari Sook.

Sook dan Tulid yang berada dalam Parlimen Pensiangan adalah antara kawasan di pedalaman Sabah yang ramai penduduknya tinggal di perkampungan terpencil dan masih berdepan masalah perhubungan.

-BERITA HARIAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat