Imej Kerajaan Merosot Tiada Kaitan Dengan PAS -Takiyuddin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – PAS menganggap kenyataan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P.Ramasamy bertajuk “Kerajaan jaan perlu strategi lain bagi tangani PAS” seperti disiarkan baru-baru ini agak melucukan, dangkal, malah cacat dari banyak segi.

Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyatakan justifikasi iaitu, selain memperakui kegagalan berterusan Putrajaya dalam memenangi kepercayaan rakyat sejak membentuk kerajaan pada tahun lepas, ia juga merupakan satu percubaan lemah untuk menjadikan PAS sebagai kambing hitam atas kegagalan itu.

Jelas Takiyuddin, tindak-tanduk, kenyataan dan dasar kerajaan yang caca-merba, bercelaru, saling bercanggahan, selain kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) menunaikan janji-janji yang pernah dibuatnya sebelum ini adalah punca utama kepada kemerosotan pengaruh dan imejnya di mata rakyat dan tidak sekali-kali mempunyai sebarang kaitan dengan PAS atau kecenderungan orang Melayu menyokong PAS.

“Momok “cakap tak serupa bikin” yang meniti dari mulut ke mulut rakyat hari ini berkaitan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah manifestasi kegagalan itu dan sebagai pembangkang PAS tidak campur tangan atau bertanggungjawab ke atas momokan tersebut.

“Justeru, daripada menjadikan PAS kambing hitam atau kesedaran agama dalam kalangan orang Melayu sebagai musuh perpaduan, adalah lebih berfaedah dan jujur sekiranya Ramasamy bercakap secara berterus terang kepada kerajaan yang disertai partinya supaya memperbaiki diri dengan dasar dan sikap yang lebih layak bagi sebuah kerajaan yang dikatakan berwibawa,” bidas Takiyuddin dalam kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, beliau juga menyebut kenyataan-kenyataan berani Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim khasnya yang mengkritik keterlanjuran dan kesilapan kerajaan dalam banyak isu adalah contoh yang baik berhubung sikap seorang penyokong yang jujur dan berhemah bagi menangani masalah dan kecamuk yang dihadapi oleh kerajaan secara dalaman.

“Barangkali Ramasamy harus mencontohi Pasir Gudang dan tidak bertindak menyorok sampah dalaman kerajaan dengan menjadikan pihak lain sebagai sasaran.

“Sebagai sebuah parti yang terlibat dalam politik negara sejak sebelum emrdeka lagi, PAS amat maklum dan insaf tentang kepentingan perpaduan dalam kalangan rakyat negara kita yang berbilang kaum dan agama,” ujar beliau.

Tambah Takiyuddin, sejarah membuktikan ketika negara terjerumus dalam konflik kaum yang paling buruk pun sebelum ini, negeri-negeri yang merupakan kubu kuat PAS terus aman tenteram dari segi perpaduan dan keselamatan antara kaum.

Namun perkara yang sama tidak boleh dikatakan benar bagi negeri-negeri yang kini dianggap sebagai kubu kerajaan, katanya.

“Untuk makluman Ramasamy, hal keadaan ini berlaku bukan sahaja disebabkan oleh ajaran Islam yang sentiasa terbuka kepada kepelbagaian sebagai tanda kebesaran dan keadilan Tuhan, tetapi juga merupakan manifestasi budaya orang Melayu yang sederhana dan sentiasa bertolak-ansur terhadap semua pihak, termasuk mereka yang berlainan kaum atau agama. Tanpa perlu berhujah terlalu panjang, kehidupan masyarakat berbilang kaum yang aman di Kelantan, Terengganu dan Kedah adalah bukti hidup dan kekal akan hakikat itu.

“Dalam pada itu, kenyataan beliau yang seolah-olah menisbahkan kesedaran beragama orang Melayu sebagai halangan kepada perpaduan masyarakat bukan sahaja cacat dan cela, malah berlawanan dengan realiti yang wujud dan diketahui umum. Kesedaran dan amalan beragamalah yang sentiasa menjadi tunjang dan teras kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup bermasyarakat, bukan sebaliknya seperti yang cuba beliau isyaratkan.

“Di sini jelas bahawa beliau tidak dapat menyembunyikan prejudisnya yang tebal terhadap Islam sebagai agama dan juga orang Melayu sebagai kelompok kaum majoriti di negara ini. Perlu juga ditegaskan bahawa ini bukanlah kali pertama beliau mempamerkan belangnya itu kepada rakyat dan negara,” bidas beliau.

Baru-baru ini Ramasamy menyarankan kerajaan untuk menggunakan strategi lain untuk mencabar pendekatan agama PAS yang memecah belahkan rakyat.

“Kerajaan baru telah menubuhkan satu atau dua jabatan untuk menentang cabaran berkaitan isu Islam yang dilemparkan oleh PAS dan pembangkang secara amnya.

“Malangnya, jabatan-jabatan ini hanya terlibat dalam propaganda politik untuk menyokong kerajaan dan bukannya berfikir di luar kotak untuk membangunkan dan mengekalkan strategi budaya untuk menentang pembangkang,” katanya.

Malah menurutnya, dengan gabungan pemikiran dan strategi yang betul, sokongan politik Melayu boleh dialihkan daripada PAS.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat