PM Sahkan Berbahasa Melayu Dalam Sidang Khas ASEAN-Amerika Syarikat

CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakub ketika merasmikan Simposium Pengantara Bahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur sebentar tadi, mengesahkan bahawa beliau menggunakan Bahasa Melayu ketika menghadiri Sidang Khas ASEAN-Amerika Syarikat Yang diadakan di Washington baru-baru ini.

“Saya juga telah memulakan rundingan dua hala dengan menggunakan Bahasa Melayu, tidak ada cacatnya rundingan tersebut. Persidangan juga menggunakan Bahasa Melayu sewaktu Sidang Khas ASEAN-Amerika Syarikat bersama dengan Presiden Amerika, saya juga menggunakan Bahasa Melayu”

“Mesej yang saya sampaikan jelas diterima Presiden Amerika walaupun saya berbahasa Melayu”, tambah beliau lagi.

Malah tambah Perdana Menteri lagi, beliau telah mengarahkan agar semua surat Yang melibatkan urusan ke luar negara, termasuk kepada pemimpin dunia juga, dibuat dalam Bahasa Melayu, beserta terjermahan dalam bahasa Inggeris.

Bercakap mengenai simposium berkenaan Perdana Menteri berkata, “Simposium ini yang dilihat dapat memartabat
dan mengantarabangsakan Bahasa Melayu, bahasa yang
kita junjungi”.

Jelas beliau lagi, “Sejarah menunjukkan penggunaan Bahasa Melayu di kawasan ‘Alam Melayu’ (Malay Archipelago) merentas entiti politik yang kini dikenal sebagai Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura, sebahagian Thailand, sebahagian Filipina dan beberapa buah negara lain di Asia Tenggara seperti Kemboja, Vietnam, Laos dan Myanmar”.

Malah, dengan wujudnya diaspora Melayu di Sri Lanka, Surinam, Afrika Selatan, Madagaskar, Asia Barat, Eropah dan beberapa bahagian lain dunia, bahasa Melayu berpotensi besar diangkat sebagai salah satu bahasa dunia, seperti pada sekitar abad ke-15 hingga abad ke-19 dahulu.

Di peringkat ASEAN, melalui forum kerjasama seperti
Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia
(MABBIM) dan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA),
penyatuan sistem ejaan Rumi dan peristilahan telah
tercapai, kata beliau lagi.

Perdana Menteri berharap skop kerjasama yang diperluas, termasuk penyelidikan, penerbitan dan pemupukan, dapat dirancang
lebih rapi supaya bahasa Melayu kembali dijadikan lingua
franca.

Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa Akta Dewan Bahasa & Pustaka 1959 akan dipinda bagi memartabatkan lagi Bahasa Melayu memandangkan ia memiliki keunikan dan kelebihan tersendiri
khususnya dalam kalangan negara ASEAN dan ia diyakini
boleh dijadikan salah satu bahasa rasmi ASEAN.

Banyak negara jelas beliau, telah mencapai status negara maju dengan
mendaulatkan bahasa sendiri. Kita juga sepatutnya mempunyai
jati diri dan membuktikan bahawa mendaulatkan Bahasa
Melayu tidak mengekang kemajuan negara.

“Memartabat dan mengantarabangsakan Bahasa Melayu
bukan kerja mudah kerana terlalu banyak cabaran yang
dihadapi oleh pejuang bahasa”.

Ismail turut menegaskan pentingnya semua sektor
menggunakan Bahasa Melayu dengan seluas-luasnya
kerana ia merupakan bahasa urusan rasmi Kerajaan
Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Awam.
Perluasan penggunaannya jelasnya, hendaklah dilaksanakan di
semua jabatan dan agensi kerajaan, syarikat berkaitan
kerajaan (GLC) dan syarikat swasta. Jadikanlah
peribahasa “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”.

DBP juga perlu menjalani proses transformasi dan
peralihan paradigma, daripada Akta DBP 1959 yang hanya
memperuntukkan kuasa Lembaga Pengelola dalam
pelaksanaan prasarana badan itu kepada peranannya yang
sewajarnya.

Peranan dan tanggungjawab DBP sebagai badan
perancangan bahasa, sastera dan penerbitan negara perlu
dirincikan lebih jelas supaya peranannya lebih berkesan
untuk mendukung dan melaksanakan peruntukan Perkara
152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan
dan undang-undang lain yang berkaitan dengan bahasa
kebangsaan