KUALA LUMPUR – Sempena ulang tahun Umno ke-80 tahun, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, 80 tahun bukan sekadar angka tetapi himpunan sejarah, kejayaan dan cabaran yang membentuk jati diri sebuah perjuangan.
Presiden Umno itu berkata, inilah kisah tentang ketahanan, tentang jatuh dan bangkit, dan tentang sebuah legasi yang terus hidup dalam perjalanan masa depan negara.
“Pada 11 Mei 2026, Umno menyambut ulang tahunnya yang ke-80, merentasi zaman penjajahan, kemerdekaan, pembangunan dan pemodenan.
“Daripada gerakan rakyat yang bangkit menentang Malayan Union pada 1946 hingga menjadi tunjang sebuah negara berdaulat, Umno telah membentuk wajah Malaysia seperti yang dikenali hari ini,” ujar Timbalan Perdana Menteri itu.
Menurut Zahid lagi, 11 Mei 2026, genap lapan dekad sebuah perjuangan yang tidak pernah terhenti.
“Bermula pada tahun 1946, sebagai sebuah gerakan menentang Malayan Union dan mempertahankan kedaulatan tanah air, UMNO lahir daripada semangat kesatuan dan keberanian bangsa.
“Dari langkah pertama itu, terbina perjalanan panjang yang mencorakkan perjalanan negara dari kemerdekaan hingga pembangunan melalui pengorbanan, kepimpinan dan usaha tanpa henti,” katanya.



