KUALA LUMPUR, 22 April – Pos Malaysia Berhad menerusi perkhidmatan kuriernya, Pos Laju, terus menyediakan Perkhidmatan Penghantaran Barangan Jemaah Haji bagi membantu jemaah Malaysia menghantar barangan dan bagasi pulang dari Makkah serta Madinah ke Malaysia pada musim haji tahun ini.
Menurut Pos Malaysia, perkhidmatan itu disediakan dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji bagi memudahkan urusan logistik jemaah sepanjang tempoh ibadah haji, sekali gus mengurangkan beban membawa barangan pulang ke tanah air.
Perkhidmatan berkenaan merupakan kesinambungan peranan Pos Laju sebagai penyedia pengurusan barangan jemaah haji Malaysia sejak 1998, selepas dilantik oleh Lembaga Tabung Haji.
Ketua Pegawai Operasi Pos Malaysia, Haji Zaini Yahman berkata, pada musim haji tahun ini syarikat itu menyasarkan penghantaran kira-kira 250 tan barangan dan bagasi jemaah haji Malaysia, dengan persediaan operasi di Tanah Suci dan Malaysia telah digerakkan lebih awal bagi memastikan proses penghantaran berjalan lancar.
Beliau berkata, kaunter-kaunter Pos Laju akan disediakan di hotel penginapan jemaah haji terpilih di Makkah dan Madinah bagi menawarkan perkhidmatan penghantaran bagasi ke Malaysia serta beberapa negara ASEAN terpilih.
Antara lokasi yang diumumkan ialah kaunter di Hotel Emmar Elite Madinah yang mula beroperasi pada 18 April sehingga hari sebelum wukuf, manakala kaunter di Hotel Al-Kiswah, Makkah pula beroperasi mulai 23 April hingga 23 Jun 2026.
Seramai 25 petugas Pos Malaysia ditempatkan di Tanah Suci bagi membantu jemaah serta memastikan urusan penghantaran dapat dilakukan secara teratur dan mesra pelanggan.
Selain penghantaran bagasi, Pos Laju turut menawarkan kotak pembungkusan khas dalam tiga saiz iaitu kecil, sederhana dan besar pada harga berbeza. Jemaah juga boleh menghantar naskhah al-Quran menerusi perkhidmatan ini dengan pengendalian khas bagi memastikan ia sampai dalam keadaan selamat dan terpelihara.
Perkhidmatan itu turut menawarkan perlindungan insurans takaful bagi penghantaran barangan bernilai, tertakluk kepada nilai perlindungan sehingga RM3,000 bagi setiap bungkusan serta syarat yang ditetapkan.
Menurut Pos Malaysia, tempoh penghantaran dijangka mengambil masa antara tujuh hingga 21 hari bekerja. Bayaran pula boleh dibuat secara tunai dalam mata wang Arab Saudi Riyal atau menerusi kaedah Bayar Waktu Terima (COD) apabila penghantaran dibuat di Malaysia.
Untuk pertanyaan lanjut, jemaah boleh menghubungi Pos Malaysia menerusi AskPos di laman web rasminya, talian khas, e-mel [email protected]
atau nombor petugas Pos Laju di Tanah Suci yang disediakan bagi Makkah dan Madinah. – SuaraTV



