KUALA LUMPUR – Berita gembira buat rakyat Malaysia, kerajaan hari ini mengumumkan harga diesel tanpa subsidi bagi tempoh 23 hingga 29 April turun 85 sen iaitu RM5.12 seliter berbanding RM5.97 seliter sebelum ini.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan, harga RON97 tanpa subsidi turut turun 25 sen iaitu pada kadar RM4.85 seliter berbanding RM5.10 seliter.
Harga runcit RON95 juga dilaporkan turun sebanyak 15 sen iaitu ditawarkan pada kadar RM3.87 seliter berbanding RM4.02.
“Selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia dan harga runcit petrol RON95 dan RON97 diturunkan berikutan penurunan harga pasaran antarabangsa.
“Penurunan harga minggu ini berdasarkan formula APM yang mengambil kira purata harga minggu terdahulu.
“Walaupun terdapat pelarasan, harga petroleum kekal tinggi berbanding paras sebelum konflik,” kata MoF dalam kenyataan pada Rabu.



