Oleh Zihan Zari
PUTRAJAYA – Pameran setem ‘Stamp Fair 2025 @ Putrajaya’ telah diadakan julung kalinya telah dianjurkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dengan kerjasama Persatuan Filateli Malaysia (PSM) di Galeri SPA, dekat sini baru-baru ini.
Timbalan Pengerusi SPA, Datuk Zohari Said dalam kenyataan berkata, langkah ini merupakan satu pendekatan baharu bagi mencetuskan semangat patriotisme dalam kalangan penjawat awam melalui nilai-nilai sejarah yang mampu diterapkan melalui setem dan bahan-bahan berkaitan pos.
Dalam pada itu, Presiden PSM, Muhamed Salim Mohd Ali berkata pameran ini turut memaparkan antara lainnya, setem serta bahan pos berkaitan masjid, rumah ibadat, dan perjuangan Palestin.
Selain itu, sampul surat hari pertama dan surat menyurat yang mempunyai nilai sejarah yang amat tinggi.
“Pameran ini juga diadakan bersempena dengan Mesyuarat Exco Federation of Inter-Asian Philately (FIAP), merupakan sebuah badan antarabangsa yang memelihara isu berkaitan filateli pada 18 April lalu .
“FIAP juga berfungsi sebagai badan penyelaras yang menyatukan persatuan filateli di Asia dan Australia bagi memajukan aktiviti pengumpulan dan kajian setem secara teratur,”katanya.
“Malahan, ia turut mendorong kerjasama serantau dalam menganjurkan pameran filateli seterusnya berperanan dalam meningkatkan pengiktirafan dan pembangunan filateli di peringkat antarabangsa.
“Pelbagai acara menarik turut diadakan seperti jualan filateli oleh pihak Pos Malaysia dan pengedar setem, sesi perkongsian hobi mengumpul setem serta ‘lucky draw’.
“Pos Malaysia juga telah mengeluarkan chop serta setem ‘overprint’ khas bagi mengingati pameran bersejarah ini, ”katanya lagi.-SUARA.TV