KJ Terbuka Disoal Siasat Berhubung Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR- Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata beliau sentiasa terbuka untuk disoal, dikritik dan disiasat berhubung pelaksanaan program vaksinasi terbesar negara.

Merujuk tuntutan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya siasatan bebas dilakukan di bawah Parlimen terhadap program tersebut serta perolehan vaksin, Khairy berkata beberapa kontrak pembelian vaksin telahpun didedahkan sepenuhnya kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen pada 5 Jan lepas.

“Pendedahan tersebut adalah bersekali dengan jadual penghantaran dan harga yang dibayar,” kata Khairy yang juga Menteri Sains, Tekonologi dan Inovasi.

Beliau berkata antara ahli PAC yang hadir dan memperhalusi kontrak perolehan vaksin pada hari tersebut adalah Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah.

Sesi libat urus bersama ahli Dewan Rakyat pembangkang juga telah diadakan pada 19 Mac lepas berhubung pelaksanaan program imunisasi itu di mana beliau telah membentangkan secara panjang lebar mengenai pelaksanaannya namun Anwar tidak hadir pada sesi tersebut.

Dalam satu kenyataan semalam sebagai maklum balas terhadap kenyataan Anwar mengenai program imunisasi itu, Khairy berkata dakwaan kerajaan negeri Selangor terpaksa menunggu lama bagi mendapat kelulusan membeli vaksin Covid-19 adalah tidak benar kerana tiada permohonan rasmi dibuat oleh kerajaan negeri itu setakat ini.

Menurutnya, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari ada menyebut secara lisan perancangan Selangor untuk membeli vaksin dalam perbincangan mereka.

“Saya memberi respons yang positif. Namun, sehingga kini saya belum menerima apa-apa permohonan rasmi dari pihak kerajaan negeri,” katanya.

Anwar antaranya mendakwa kerajaan Selangor “menunggu berbulan lamanya hanya untuk mendapat kelulusan yang diperlukan… untuk mendapatkan 2 juta dos buat rakyat Selangor,”.

Mengulas dakwaan sama oleh Anwar mengenai Sarawak, Khairy berkata beliau telah mengadakan beberapa sesi libat urus dengan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Unggah Embas dan memaklumkan bahawa bekalan kerajaan Persekutuan mencukupi untuk menampung keperluan pelaksanaan program imunisasi di Sarawak.

Menurut Khairy, Unggah juga telah memohon untuk kerajaan Sarawak membeli vaksin dan beliau telah memberi respons yang positif mengenai permohonan itu namun menetapkan syarat yang vaksin tersebut mestilah berdaftar Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Beliau berkata vaksin yang ingin dibeli oleh kerajaan Sarawak mestilah berdaftar di bawah NPRA terlebih dahulu memandangkan jenis vaksin yang dikehendaki Sarawak masih dalam proses penilaian oleh NPRA.

Khairy dalam pada itu berkata program imunisasi kebangsaan itu sedang dilaksanakan mengikut fasa yang diumumkan pada 14 Feb lepas dan perancangan program tersebut dibuat mengambil kira jadual penghantaran vaksin yang diberi oleh syarikat-syarikat pembekal vaksin.

“Saya juga telah jelaskan bahawa mengikut unjuran kerajaan, bekalan vaksin kita akan mula ampuh bermula Jun. Ini juga mengikut perancangan program imunisasi yang mana vaksinasi massa fasa tiga dijadualkan bermula pada Jun,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat