Jadikan Kejayaan All England Perangsang Untuk Bekerja Lebih Keras, Pesan Muhyiddin Kepada Zii Jia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kejayaan manis jaguh perseorangan lelaki negara yang merangkul Kejuaraan Badminton All England 2021 malam tadi menarik perhatian Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin menasihati Zii Jia agar menjadikan kemenangan sulung pada pertandingan badminton tertua di dunia itu sebagai perangsang untuk bekerja lebih keras dan menjadi lebih cemerlang pada masa akan datang memandangkan perjalanan kariernya yang masih jauh dalam sukan tersebut.

“Syabas Lee Zii Jia! Anda wira kebanggaan negara. Tahniah juga kepada BAM (Persatuan Badmintoin Malaysia) dan barisan kejurulatihan atas kejayaan ini. 

“Seluruh peminat sukan negara, khususnya badminton, tentunya begitu teruja dengan kejayaan pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia merangkul kejuaraan kejohanan badminton All England, sebentar tadi,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.

Zii Jia mencipta sejarah buat dirinya apabila merangkul gelaran All England buat kali pertama selepas menewaskan juara bertahan Viktor Axelsen, 30-29, 20-22, 21-9 pada aksi final di Utilita Arena, Birmingham pada Ahad.

Muhyiddin turut menyifatkan kejayaan pemain berusia 22 tahun dari Kedah itu memberi makna besar dan suntikan motivasi buat pemain muda berkenaan selepas ditewaskan pemain sama di peringkat separuh akhir kejohanan tersebut tahun lepas.

Ini adalah kemenangan kedua Zii Jia ke atas Axelsen sepanjang lima pertemuan antara mereka.

Kali terakhir gelaran berprestij itu dimenangi pemain negara ialah pada edisi 2017 menerusi Datuk Lee Chong Wei yang menewaskan pemain China, Shi Yu Qi, 21-12, 21-10.

Selaku juara, Zii Jia yang berasal dari Alor Setar, Kedah membawa pulang hadiah wang tunai US$59,500 (RM244,344).

Zii Jia mengakhiri kemarau gelaran hampir tiga tahun selepas menjuarai Terbuka Taiwan pada 2018 apabila mengatasi pemain Jepun, Riichi Takeshita, 21-17, 16-21, 21-11.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat