KUALA LUMPUR,— Perikatan Nasional (PN) memutuskan bahawa jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen akan dipegang oleh PAS sebagai parti komponen terbesar dalam kalangan blok pembangkang, susulan mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi (MT) gabungan itu petang tadi.
Penolong Setiausaha Agung PN, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, keputusan tersebut dipersetujui oleh semua parti anggota PN, namun PAS memerlukan sedikit masa sebelum memuktamadkan calon yang akan menggalas tanggungjawab berkenaan.
“Parti-parti anggota ini bersetuju kerusi Ketua Pembangkang dipegang oleh PAS sebagai parti terbesar di dalam Parlimen, tapi belum ada keputusan lagi dan PAS memerlukan sedikit masa untuk meneliti perkara ini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat luar biasa MT di Ibu Pejabat PAS, di sini.
Keputusan itu sekali gus mengesahkan Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak lagi memegang jawatan Ketua Pembangkang, selepas kedudukan beliau menjadi tanda tanya susulan pemecatannya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Feb lalu.
Pemecatan tersebut merupakan kemuncak kepada kemelut kepimpinan yang memuncak antara Hamzah dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang sebelum ini menyaksikan pertikaian terbuka mengenai hala tuju parti dan kepimpinan.
Perhatian tertumpu kepada kedudukan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang memandangkan beliau dilantik ke jawatan itu atas kapasiti sebagai pemimpin kanan Bersatu dan mewakili Perikatan Nasional di Dewan Rakyat.
Dengan keputusan terbaharu ini, tanggungjawab mengetuai blok pembangkang kini akan beralih kepada wakil PAS, selaras dengan kedudukan parti itu sebagai parti yang memiliki jumlah kerusi Parlimen terbesar dalam gabungan PN.
Langkah tersebut dilihat sebagai usaha untuk menstabilkan semula kepimpinan pembangkang serta memastikan kesinambungan peranan semak dan imbang di Parlimen, di tengah-tengah pergolakan dalaman yang menjejaskan struktur kepimpinan gabungan itu sejak kebelakangan ini.
Pengumuman rasmi mengenai individu yang akan dilantik sebagai Ketua Pembangkang dijangka dibuat oleh kepimpinan PAS dalam masa terdekat selepas penelitian dalaman dimuktamadkan.



