PAS hormati proses siasatan, cuma rasa pelik kes lama Exco Terengganu digerakkan semula

KUALA LUMPUR, — PAS menegaskan parti itu menghormati proses siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap seorang Exco Kerajaan Negeri Terengganu, namun mengakui rasa pelik apabila kes lama tiba-tiba digerakkan semula selepas beberapa tahun tanpa perkembangan jelas.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadli Shaari berkata, dalam sebuah negara yang menjunjung kedaulatan undang-undang, prinsip asas yang mesti dihormati ialah seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah.

“Pertamanya, kita menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan. Dalam negara yang berpegang kepada kedaulatan undang-undang, prinsip yang mesti dijunjung ialah not guilty until proven guilty. Seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan tindakan menggerakkan semula kes yang didakwa berlaku pada tahun 2018 dan 2020, selepas tempoh yang lama tanpa sebarang keputusan atau perkembangan yang jelas.

“Kes yang didakwa berlaku pada tahun 2018 dan 2020 sebelum ini senyap tanpa sebarang keputusan yang jelas, tetapi tiba-tiba digerakkan untuk pendakwaan pada waktu ini.

“Jadi adakah selama enam tahun ini dari tahun 2020 sehingga 2026, SPRM tidak mendapati sebarang perkembangan baharu dan tiba-tiba menjumpainya hari ini?” katanya.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut berkata perkembangan tersebut menimbulkan tanda tanya dalam kalangan rakyat, khususnya dalam keadaan politik semasa yang menurutnya menyaksikan kerajaan berdepan pelbagai isu yang mendapat perhatian umum.

“Dalam suasana sebegini, tindakan terhadap wakil PAS yang selama ini dikenali bersih daripada rasuah pastinya menimbulkan persepsi awam bahawa ada agenda tertentu di sebaliknya,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan PAS akan kekal tenang dan menyerahkan sepenuhnya kepada proses undang-undang serta mahkamah.

Dalam masa sama, Fadli berkata Exco berkenaan tidak perlu meletakkan jawatan kerana tugasnya sebagai anggota pentadbiran kerajaan negeri tidak boleh mempengaruhi siasatan SPRM dalam apa jua keadaan sekalipun.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat