Saman jika letak lori, kenderaan berat dalam kawasan taman perumahan

- Advertisement -

KUANTAN – Bermula bulan depan, semua pemilik atau pemandu kenderaan berat di Pahang tidak dibenarkan meletak kenderaan mereka di kawasan taman perumahan.

Kegagalan mematuhi arahan itu bakal menyaksikan mereka dikenakan saman antara RM1,000 hingga RM5,000.

Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Choon Siang berkata, arahan itu yang sepatutnya dikuatkuasakan bulan ini namun ditangguhkan ke 1 Mac ini.

“Peraturan mengenai larangan ini (sebenarnya) sudah lama wujud, cuma sebelum ini kita tidak ambil tindakan tegas dan (masih) bertolak ansur.

“Namun kebelakangan ini, kita terima banyak aduan dan kerajaan Pahang fikir sudah sampai masa untuk (peraturan) dikuatkuasakan.

“Jadi, kita ingin beri peringatan kepada semua, sama ada pemandu lori atau pemilik kenderaan berat lain supaya dapat mematuhi arahan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri perjumpaan bersama wakil persatuan pengusaha lori dan kenderaan berat Pahang di Kuantan, petang semalam.

Pertemuan turut dihadiri Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff serta pegawai kanan polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).

Choon Siang berkata, tindakan tegas itu terpaksa diambil susulan rungutan orang ramai mengenai kerosakan jalan di kawasan taman perumahan dan jalan kampung dipercayai akibat tindakan pemilik lori meletakkan kenderaan mereka di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Mohammad Fakhruddin meminta semua wakil persatuan pengusaha lori dan kenderaan berat akur dengan keputusan kerajaan.

Katanya, tindakan mengeluarkan saman kepada mereka yang degil adalah perkara terakhir kerajaan Pahang ambil kerana tidak mahu menyusahkan rakyat.

“Kalau boleh kita tidak mahu saman sesiapa, kita tahu semua orang dalam keadaan susah dengan suasana ekonomi masih belum pulih sepenuhnya.

“Tapi kalau semua boleh beri kerjasama, tidak ada saman akan dikeluarkan dan kita semua pun akan gembira.

“Pihak pengusaha atau pemilik lori kena bincang dengan pemandu mereka dan sediakan tempat letak kenderaan khas supaya tidak mengganggu kawasan perumahan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan kerajaan Pahang sedia berbincang untuk menyediakan kemudahan kawasan letak kenderaan khas bagi lori dan kenderaan berat supaya dapat memudahkan mereka.

Kesalahan meletak kenderaan berat dan lori boleh disaman mengikut Seksyen 48 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara tidak kurang setahun atau keduanya.

Selain itu, denda RM1,000 boleh dikenakan bagi kesalahan terbabit yang menyalahi Perintah 5, Perintah Pengangkutan Jalan (Perintah Sekatan Ke Atas Jentera Bergerak Berat Daripada Penggunaan Jalan) MBK 2017.

 

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat