KUALA LUMPUR – UMNO berhak menentukan hala tujunya sendiri tanpa dipengaruhi pihak luar, tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya.
Katanya, mana-mana pihak tidak wajar mencampuri urusan dalaman UMNO apatah lagi memberi ‘kata dua’ dalam menentukan hala tuju parti itu.
“Itu adalah hak individu terbabit untuk bercakap apa saja (memberi kata dua) tetapi ingin saya tegaskan UMNO juga mempunyai hak menentukan hala tuju parti.
“Adalah tidak adil jika meminta UMNO membuat satu ketetapan sedangkan keputusan parti ada beberapa peringkat, ada keputusan MKT dan juga melalui perhimpunan agung,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.
Beliau mengulas laporan media Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan memberi UMNO tempoh sehingga 1 Mac ini untuk membuat keputusan sama ada akan bersama Perikatan Nasional (PN) atau sebaliknya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Mengulas lanjut, Fathul Bari berkata, UMNO sentiasa bersikap objektif dan tidak gopoh dalam membuat keputusan selain meraikan kehendak serta kemahuan akar umbi parti.
“Keseimbangan dua perkara itu menjadi pendekatan penting bagi UMNO dalam membuat keputusan. Oleh itu, parti lain janganlah naik angin atau marah kerana UMNO berhak membuat keputusan.
“Cuma keputusan kita meraikan banyak perkara, bukan soal untuk memenuhi kepentingan mana-mana pihak dan sebagainya,” katanya. – BH