KUALA LUMPUR — Pelantikan Adam Adli sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi disifatkan sebagai satu “pisau bermata dua” yang berpotensi sama ada melonjakkan atau menguburkan karier politik beliau, menurut mantan Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker.
Dalam tulisan terbaharunya, Ti mempersoalkan sama ada Adam benar-benar diberikan ruang untuk melaksanakan reformasi pendidikan tinggi, atau sekadar dijadikan perisai politik bagi menutup kegagalan menunaikan janji-janji besar Pakatan Harapan (PH).
Menurut beliau, pelantikan Adam hadir bersama tiga janji utama yang selama ini menjadi modal politik PH, iaitu reformasi Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), kebebasan akademik, serta penghapusan atau rombakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Ini bukan tuntutan kecil. Ia adalah janji teras yang diulang dalam beberapa pilihan raya, termasuk oleh Perdana Menteri sendiri. Gerakan mahasiswa yang pernah dipimpin Adam dibina atas tuntutan-tuntutan ini,” katanya.
Bagaimanapun, Ti mengingatkan bahawa realiti politik berubah selepas PH membentuk kerajaan, lebih-lebih lagi apabila Adam sendiri tewas dalam pemilihan Cabang PKR Hang Tuah Jaya, memperoleh 791 undi berbanding lawannya yang mendapat 1,905 undi.
Beliau turut membangkitkan persoalan sama ada Adam dilihat sejajar dengan kem Rafizi Ramli, manakala lawannya Shamsul Iskandar — yang menang besar — dikaitkan dengan kem Perdana Menteri, sekali gus menimbulkan tanda tanya terhadap rasional strategik pelantikan tersebut.
“Adakah Adam ditempatkan untuk melaksanakan reformasi, atau disusun sebagai pengorbanan politik — kambing hitam untuk kegagalan memansuhkan AUKU dan PTPTN?” soal Ti.
Ti juga mengaitkan perkara itu dengan kenyataan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang menyifatkan ketidaktekalan janji politik sebagai sesuatu yang “normal”, sambil menyifatkan kenyataan itu sebagai usaha menormalisasikan pengkhianatan terhadap janji pilihan raya.
Menurut beliau, strategi politik tersebut bersifat licik kerana membolehkan kerajaan menanam janji-janji reformasi bersama seorang tokoh muda yang sinonim dengan perjuangan itu.
“Letakkan bekas ikon mahasiswa dalam portfolio pendidikan tinggi yang diterajui UMNO, lambungkan harapan anak muda, kemudian berdepan ‘realiti’ fiskal dan kawalan kampus sebagai alasan kegagalan,” katanya.
Ti menegaskan bahawa apabila reformasi itu gagal, beban tidak akan jatuh kepada kepimpinan tertinggi PH atau Perdana Menteri, sebaliknya ditanggung sepenuhnya oleh Adam sebagai bekas ikon reformasi.
“Inilah risiko ahli politik muda berlabel reformis — legasi mereka digunakan untuk menghalalkan harapan, dan kemudian digunakan untuk mengurus kekecewaan,” katanya.
Beliau menegaskan kritikannya bukan bersifat peribadi, sebaliknya satu diagnosis politik terhadap hala tuju reformasi pendidikan tinggi negara.
“Persoalannya kekal — adakah Adam dilantik untuk merombak sistem, atau sekadar menenangkan rakyat sementara sistem lama terus dikekalkan?” katanya. -SuaraTV



