CYBERJAYA : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan Kemboja dan Thailand berpegang kepada semangat dialog, kebijaksanaan serta saling menghormati dalam usaha menamatkan ketegangan yang kembali tercetus antara kedua-dua negara.
Menurut beliau, pendekatan rundingan secara aman amat penting bagi memelihara keamanan dan kestabilan serantau, selaras dengan prinsip ASEAN sebagai sebuah rantau yang mengutamakan penyelesaian konflik melalui diplomasi.
“Saya berkesempatan berhubung dengan Perdana Menteri Kemboja dan Thailand bagi bertukar pandangan serta membincangkan hala tuju terbaik ke arah meredakan ketegangan yang timbul antara kedua-dua negara,” kata beliau dalam satu hantaran di media sosial.
Anwar turut menyatakan bahawa Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang akan berlangsung esok merupakan wadah yang sesuai dan konstruktif untuk membolehkan kedua-dua pihak berunding secara terbuka, menyelesaikan perbezaan secara aman serta mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan.
Sementara itu, Wisma Putra memaklumkan mesyuarat khas Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN mengenai situasi terkini antara Kemboja dan Thailand diadakan susulan persetujuan yang dicapai oleh Anwar bersama Perdana Menteri kedua-dua negara pada 11 Disember lalu.
Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia akan mempengerusikan mesyuarat berkenaan menerusi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Pada 17 Disember lalu, Anwar berkata mesyuarat tersebut akan membolehkan ASEAN berbincang secara kolektif, menetapkan fakta sebenar di lapangan serta mempergiat usaha memujuk kedua-dua pihak menghentikan serangan di barisan hadapan, bermula dengan pelaksanaan gencatan senjata segera.
Menurut Perdana Menteri, keputusan mengadakan mesyuarat itu merupakan inisiatif Malaysia dan ASEAN bagi meredakan ketegangan serta mengelakkan peningkatan konflik, hasil rundingan berterusan dengan kepimpinan Thailand dan Kemboja.
Ketegangan sempadan antara Thailand dan Kemboja dilaporkan kembali memuncak sejak Julai lalu, menyaksikan pertempuran bersenjata selama beberapa hari sebelum kedua-dua pihak bersetuju melaksanakan gencatan senjata pada 28 Julai. Kedua-dua negara kemudiannya menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur pada 26 Oktober lalu di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, pertempuran kembali tercetus baru-baru ini, mengakibatkan beberapa kematian serta memaksa ribuan penduduk di kawasan sempadan melarikan diri, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap kestabilan dan keselamatan serantau.



