Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Balai Seni Negara
yang mengadakan program Young Art Entrepreneurs (YAE!) – Generation: Artpreneur sehingga kini telah melahirkan seramai 155 orang usahawan seni.
Sepanjang pelaksanaannya, peserta program YAE! didedahkan dengan asas keusahawanan, kaedah pengurusan projek, teknik promosi dan pemasaran serta kaedah membina Business Model Canvas’ yang betul.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), Shaik Rizal Sulaiman berkata demikian ketika berucap pada program Sayembara Lukisan: Karya Agung Cetusan Bakat Mahasiswa dan YAE! – Generation: Artpreneur di GMBB, dekat sini pada Rabu.
Turut hadir, Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad; Pengurus Besar GMBB, Lim Ying Hui; pegawai-pegawai kanan MOTAC, jabatan dan agensi, wakil Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) serta para penggiat seni.
Shaik Rizal berkata, Program YAE! kohort ke-10 menampilkan 17 peserta bertemakan ‘Generation: Artpreneur’, menggabungkan seni (art) dan keusahawanan (entrepreneur) sebagai aspirasi kepada generasi muda yang kreatif dan inovatif.
Beliau berkata, tema ini mencerminkan pendekatan segar dalam usaha melahirkan usahawan seni yang berdaya saing dan sebagai sebahagian daripada program, sesi Business Pitching oleh para peserta turut diadakan hari ini.
Menurutnya, peserta dilatih untuk membangunkan produk dan perkhidmatan mereka mengikut kesesuaian pasaran seni dengan bimbingan pakar keusahawanan serta pakar industri.
YAE! bukan sahaja mampu membentuk para penggiat seni muda untuk menjadi usahawan yang kreatif dan berjaya, malah dilihat mampu untuk memperkasa ekonomi negara melalui penjualan produk seni yang dihasilkan.
Menurutnya, program ini memberi tumpuan kepada jalinan kerjasama strategik dengan syarikat swasta, rakan pelukis, dan organisasi yang bersesuaian untuk mengukuhkan penghasilan produk seni serta perkhidmatan yang berkualiti.
“Peserta YAE! telah berjaya membentuk kolaborasi strategik bersama pelbagai pihak seperti MAKERZ, Hikari Raiders, Tiffin Jeiwa, PETRONAS Young Professionals Club (YPC) dan pelukis terkenal, Kupeh Rodriguez.
“Kolaborasi ini memainkan peranan penting dalam meningkatkan nilai produk seni, memperluas peluang pemasaran, dan membina rangkaian profesional yang kukuh.
“Langkah ini secara tidak langsung menyumbang kepada pengukuhan ekosistem seni tempatan serta membuka laluan untuk perkembangan industri yang lebih dinamik,”katanya.
Terdahulu, Shaik Rizal berkata Program Sayembara Lukisan: Karya Agung Cetusan Bakat Mahasiswa Program Sayembara Lukisan: Karya Agung Cetusan Bakat Mahasiswa adalah inisiatif Balai Seni Negara yang bertujuan mengangkat seni sebagai medium untuk memelihara dan menghayati warisan sastera, sekaligus memperkukuh identiti budaya negara.
“Program ini tercetus daripada seruan
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang menyeru masyarakat untuk bersama-sama menghargai naskhah sastera sebagai alat pendidikan, pembangunan jati diri, dan pengukuhan nilai kemanusiaan.
“Selain itu, program ini juga bertujuan mendorong generasi muda untuk lebih terlibat dalam bidang sastera sambil menjadikan sastera sebagai wadah penyatuan pelbagai lapisan masyarakat.
“Usaha ini adalah langkah penting dalam memperkasa budaya dan seni tanah air agar terus relevan dan dihargai oleh semua pihak, ”katanya lagi.
Dalam pada itu, peserta YAE! Umairoh Nublee @ Ali yang lebih dikenali dengan ‘Doodle by Kak Ngah’ telah dipilih sebagai ‘The Best Artpreneur Award’ (Young Art Entrepreneur Cohort 10) meluahkan rasa syukur dan teruja kerana menyertai program ini.
Antara pencapaian terbaik akademik Umairoh tempat pertama dengan keputusan ‘Mumtaz ’untuk setiap tahun pengajian di Madrasah Dirasatid Deeniyyah Wat Tarbiyyah Lil Banat (MADTLAB) selama 7 tahun sehingga khatam Bukhari, dan menghafaz 30 juzuk Al-Quran dengan keputusan ‘Mumtaz’ sewaktu ujian Syahadah pada 2020-2021.
Anak kelahiran Kuantan ini telah berjaya mendapat keputusan ‘Mumtaz’ ujian Sijil Tahfiz Malaysia di Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kuala Kubu Baharu pada 2022.
Dalam bidang seni, Umairoh, 24, menyertai Dong ism di Balai Seni Negara pada 2018 dan mengendalikan Bengkel ‘Doodle ’di reruai Balai Seni Negara sempena Pesta Air Peringkat Kebangsaan di Teluk Cempedak, pada Ogos 2023.
Selain itu, beliau berjaya menghasilkan beberapa projek ‘Doodle’ dan Mural, antaranya :
2017 – ‘Doodle’ atas kertas dan dibingkai untuk hiasan pejabat urusan Zaty’s (Pekan).
– ‘Doodle ’untuk pembungkusan produk ‘Acar Ikan’ Zaty’s (Pekan).
2018- ‘Doodle’ mural di luar Cafe Roots by Kebun Kota (Kuantan).
– ‘Doodle’ untuk t-shirt driver Grab Pantai Timur (Kuantan).
– ‘Doodle’atas kertas dan dicetak pada ‘wallpaper’ pejabat Grab Pantai Timur (Kuantan).
2019 – ‘Doodle’ mural di ruang tamu rumah Cik Rosidah, Jaya Gading (Kuantan).
– ‘Doodle’ mural di dobi layan diri Asrama Siswi Politeknik Sultan Ahmad Shah (POLISAS Kuantan).
2020 – ‘Doodle’ lukisan hari ibu untuk Cik Asmah (Kuantan).
– ‘Doodle’ kasut basikal untuk Azlan (Bangi).
– ‘Doodle’ mural di dalam Cafe Roots by Kebun Kota (Kuantan).
– Menjual produk yang telah dilukis ‘doodle’ seperti bekas pensil, beg dan lain-lain di Café Roots by Kebun Kota (Kuantan).
– ‘Doodle’ untuk beg tote Jehan Bakar (Kuantan).
– ‘Doodle’ mural di dinding rumah Zakariyya Kamaruddin (Kuantan).
2021 – ‘Doodle’ kasut basikal bertema bungaraya untuk Suhazli Rahim (Kuantan).
– Bengkel ‘Doodle’ untuk pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah anjuran Muzium Sungai Lembing sempena sambutan Hari Muzium (Kuantan).
2022 – ‘Doodle’ untuk t-shirt dan cawan Kafe Fotokopi (Kuala Terengganu).
– Mural 2 dinding di TADIKA Kemas, Kg. Selamat bertema hidupan laut (Kuantan).
2023 – ‘Doodle’ mural di Wongganteng ‘Campsite ’ (Jerantut).
2024 – ‘Doodle’ mural di dinding kaca Kafe Doki-Doki (Kuantan)
– ‘Doodle’ atas kain rentang untuk Sono Coffee (Kuantan)
– ‘Doodle’ mural dinding Hotel Kucing (Kuantan).
– ‘Doodle’ helmet basikal untuk Prof. Dr. Jamaluddin Rahman (Kuantan).
Menurut Umairoh, pada program YAE! saya mengunakan nama galeri ‘Pipi Merah Art Studio’.
“Pengerusi LPSVN ketika berkunjung ke galerinya telah berkongsi idea mengenai produk utama saya, iaitu barangan fungsional seperti jug air, balang, dan kotak tisu yang dilukis tangan satu persatu.
“Beliau meneliti hasil kerja saya, dan mengucapkan tahniah, serta memberi galakan untuk terus berkarya dan saya amat menghargai pandangannya, ”kata nya.
Menerusi kenyataan Balai Seni Negara memaklumkan, Sayembara Lukisan: Karya Agung Cetusan Bakat Mahasiswa berjaya menarik penyertaan daripada 13 institusi pengajian tinggi, termasuk IPTA dan IPTS yang menghasilkan 142 karya, iaitu 123 karya catan, 11 karya arca, dan 8 video.
Antara yang terlibat adalah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Sabah (UMS), dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Turut sama, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar, UiTM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah, UiTM Cawangan Kelantan Kampus Machang, dan UiTM Cawangan Sarawak, Institut Seni Lukis Malaysia (MIA) dan Taylor’s College.
“Program ini memberi tumpuan kepada penghasilan karya seni visual yang diinspirasi daripada naskhah agung sastera seperti novel klasik dan cerpen karya sasterawan terkemuka.
“Ianya bermatlamat mempromosikan bidang seni dan sastera secara serentak, serta menggalakkan kreativiti dan inovasi pelajar dalam mempersembahkan interpretasi seni yang mendalam, dipamerkan pada 14 Disember lalu hingga 31 Januari depan di GMBB, Kuala Lumpur.
“Manakala, pameran akhir YAE! – Generation: Artpreneur telah berlangsung pada 14 hingga 22 Disember ini di lokasi sama,”ujarnya lagi.
“Kedua-dua program ini bukan sahaja bertujuan mempromosikan seni malah turut membuka peluang untuk penghayatan sastera, sekali gus menjadi platform yang signifikan dalam memperkasa kreativiti generasi muda.
“Program ini juga menyediakan ruang untuk mereka menjana idea baharu, menghasilkan karya dan produk bermutu tinggi, serta membina jenama yang kukuh dalam ekosistem seni.
“Peminat seni dan orang ramai dijemput hadir ke GMBB, untuk menghayati keindahan seni dan sastera menerusi pameran ini yang menampilkan produk seni daripada generasi muda yang berbakat, ”tambahnya.
Tambahnya lagi, pameran ini dibuka setiap hari, bermula jam 11.00 pagi hingga 8.00 malam dan untuk maklumat lanjut, ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara di www.artgallery.gov.my. -SUARA.TV