‘Watie, tolonglah bayar!’ – Hana Elite

- Advertisement -

Kuala Lumpur: Bekas anggota kumpulan Elite, Hana Adnan, 44, enggan bertolak ansur lagi dengan pelakon, Watie Sadali, 46, yang masih tidak melunaskan pembayaran ansuran RM2,500 sebulan kepadanya sebagaimana diperintahkan Mahkamah Sesyen Selayang pada 2017 lalu.

Hana atau nama sebenarnya, Norhanasafiza Mat Adnan ketika dihubungi berkata, sudah lima tahun masa diberikan untuk Watie menyelesaikan tuntutan hutang secara ansuran seperti mana sudah diperintahkan mahkamah sebelum ini.

“Sehingga kini, dia tidak pernah membayar satu sen pun kepada saya. Dia juga tidak menghubungi saya untuk kami berjumpa dan berbincang sekiranya dia tidak mampu melunaskan bayaran yang ditetapkan mahkamah itu.

“Pada era teknologi serba maju sekarang, rasanya tiada alasan sukar untuk dia nak mencari saya. Selain telefon, tentu saja dia boleh mencari saya melalui media sosial. Lagipun, saya ada di Malaysia dan tidak ke mana-mana pun,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas statusnya yang sebelum ini diisytiharkan muflis, Hana berkata, dia sudah bebas sejak November lalu apabila membuka semula kes itu untuk penyelesaian undang-undang sepenuhnya di mahkamah.

“Saya ambil masa tiga tahun untuk kumpul duit bagi membayar peguam untuk membuka semula kes ini dan menuntut penyelesaian secara undang-undang. Sudah lima tahun, masih lagi tidak diselesaikan.

“Saya juga bergelut kira-kira sembilan tahun sejak 2013 dengan status diri yang diisytiharkan muflis dan ia tidak mudah. Kesukaran yang saya alami sepanjang tempoh itu dengan pandemik Covid-19 lagi, tiada kerja dan banyak masa duduk di rumah.

“Jadi, saya perlu mendapat keadilan untuk diri sendiri. Harapan saya agar semuanya selesai dan dia melunaskan hutang tertunggak itu. Saya tidak akan tolak ansur lagi. Cukup-cukuplah tu sebab dah terlalu lama,” katanya.

Justeru, Hana memaklumkan kes tuntutannya akan disebut semula pada 29 Disember ini dan sekiranya Watie gagal membayar ganti rugi, pelakon berkenaan akan berdepan hukuman penjara.

Terdahulu pada 10 Mac 2015, Hana menang saman yang difailkan terhadap Watie atau nama sebenarnya, Norwati Sadali berhubung kegagalan pelakon itu melunaskan bayaran pinjaman bank menggunakan namanya untuk membeli kenderaan jenis Toyota Wish.

Hana mendakwa, dia membuat pinjaman bank kenderaan itu pada September 2005 bagi pihak Watie sebanyak RM150,000 kerana pelakon itu tidak layak membuat pinjaman.

Bagaimanapun, Watie gagal mematuhi syarat ditetapkan seperti membayar ansuran bulanan, cukai jalan, insurans dan perkara berkaitan sejak September 2010 sehingga Hana diisytiharkan muflis.

Pada 18 Mei 2017, Hana yang memfailkan tuntutan saman penghutang penghakiman terhadap Watie selepas dia gagal membayar ganti rugi yang ditetapkan mahkamah pada 28 Ogos 2014.

Mahkamah Sesyen Selayang memerintahkan Watie membayar ansuran sebanyak RM2,500 sebulan kepada Hana sebagai penyelesaian bayaran tuntutan ganti rugi sebanyak RM707,351.83.

Harian Metro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat