Upin & Ipin cipta rekod baharu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Syarikat produksi animasi tempatan, Les’ Copaque Production mencipta rekod apabila pementasan teater muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom! di Stadium Tertutup Singapura dihadiri ribuan penonton, Ahad lalu.

Penerbit dan Pengarah Urusan Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi, berkata pencapaian itu amat membanggakan kerana teater berkenaan julung kali dipentaskan di Singapura dan menjadi negara pertama dalam rangkaian jelajah antarabangsa.

“Les’ Copaque Production dan penerbit bersama Biz Trends Media Pte Ltd, Keith Sim berjaya mementaskan teater muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom! di Stadium Tertutup Singapura.

“Ia adalah teater tempatan pertama berjaya dipentaskan di luar negara. Jadi, kami mencipta sejarah memandangkan ia menjadi satu-satunya teater dari industri kreatif Malaysia yang berjaya dieksport.

“Malah, kami terharu menerima sambutan sangat baik apabila dihadiri hampir 3,000 penonton. Penonton seronok menyaksikan persembahan teater muzikal dan mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti aksi interaktif,” katanya kepada BH Online.

Tambah Burhanuddin, bukan hanya penonton dari Singapura dan Malaysia, malah ada juga Indonesia hadir menyaksikan teater muzikal ini.

“Ini membuktikan teater muzikal boleh dieksport ke luar negara seperti Indonesia, Brunei Darussalam, Asia Barat dan kemungkinan besar ke London kerana terdapat permintaan di sana.

“Pementasan teater muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom! ke luar negara ini sudah tentu mengharumkan nama Malaysia ke persada dunia dalam bidang animasi.

“Sehubungan itu, Les’ Copaque Production akan sentiasa menghasilkan produk bertaraf global.

“Terima kasih kepada pengarah, Siti Rohayah Atan dan pasukannya kerana mencipta persembahan hebat ini.

“Teater muzikal ini dilakonkan sepenuhnya oleh maskot watak, menggunakan kostum dan teknologi multimedia serta kesan khas ketika persembahan,” katanya.

 

Teater muzikal Upin & Ipin - Pin Pin Pom! dilakonkan sepenuhnya oleh maskot watak, menggunakan kostum dan teknologi multimedia serta kesan khas ketika persembahan.
Teater muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom! dilakonkan sepenuhnya oleh maskot watak, menggunakan kostum dan teknologi multimedia serta kesan khas ketika persembahan.

 

Seterusnya, Burhanuddin akan membawa pementasan teater muzikal adik beradik kembar Upin dan Ipin itu ke Indonesia.

“Destinasi seterusnya Indonesia. Di situlah peminat Upin Ipin. Insya-Allah, kami akan mencipta lebih banyak sejarah pada 2023. Seperti lagu Queen, persembahan mesti diteruskan,” katanya.

Teater muzikal Upin & Ipin – Pin Pin Pom! berkisarkan pengembaraan Upin dan Ipin dalam dunia magik Pin Pin Pom demi menyelamatkan kawan-kawan dari Nenek Kebayan.

Ia penuh dengan aksi mendebarkan dan mencuit hati dengan lagu menghiburkan.

Malah, babak baharu yang dipentaskan lagu dangdut, Goyang Upin & Ipin.

Turut hadir, pelakon suara Upin dan Ipin iaitu Asyiela Putri Azhar yang juga meluangkan masa melakukan sesi ramah mesra bersama peminat.

Siri Upin Ipin diperkenalkan di saluran televisyen sejak 2007 turut difilemkan pada 2009 dan kini, peminat si kembar dapat menonton menerusi pentas teater muzikal.

Lebih 50 pelakon dan kru terbabit dalam menjayakan teater muzikal itu untuk satu pementasan di Singapura.

Berita Harian
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat