Lebih 2 juta rakyat Sabah menerima bantuan COVID-19

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Lebih 2 juta rakyat Sabah menerima bantuan COVID-19 disalurkan kerajaan Persekutuan dan negeri sejak penularan pandemik itu hingga hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata hingga kini kerajaan negeri menyalurkan tujuh jenis bantuan, manakala lima jenis bantuan oleh kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan memastikan kumpulan sasar terjejas akibat pandemik COVID-19 tidak akan terlepas atau terkecuali daripada menerima bantuan sepatutnya.

“Hingga kini, seramai 2,144,408 individu terjejas akibat COVID-19 di Sabah sudah menerima bantuan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

“Bantuan kerajaan Persekutuan meliputi Bantuan Sara Hidup (BSH) 2020, Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Geran Khas Prihatin untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Program Subsidi Upah (PSU) untuk majikan di Sabah dan elaun khas COVID-19 untuk barisan hadapan,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini, hari ini.

Masidi yang juga jurucakap COVID-19 Sabah menjawab soalan Datuk Seri Salleh Said Keruak (BN-Usukan) mengenai jumlah penerima bantuan COVID-19 di negeri ini dan jaminan kerajaan negeri supaya tiada tersasar.

Bagi bantuan kerajaan negeri, Masidi berkata, pertama ialah pengagihan bakul makanan kepada penduduk terjejas di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), menjalani kuarantin dan golongan dalam senarai e-Kasih dengan peruntukan RM39.62 juta disalurkan sejak Oktober lalu.

“Setakat ini, sebanyak 301,327 bakul makanan diagihkan membabitkan perbelanjaan RM30.16 juta. Hingga kini 96 peratus bakul makanan sudah diagihkan kepada golongan sasar,” katanya.

Pada masa sama, katanya, seramai 336,428 individu menerima Bantuan Kewangan Sekali Bayar sebanyak RM300 seorang membabitkan mereka dalam pelbagai sektor, iaitu pertanian, pelancongan, pengangkutan dan perniagaan dengan perbelanjaan RM100.92 juta.

Seramai 2,574 pelajar institusi pengajian tinggi, sekolah agama dan tahfiz turut menerima bantuan kerajaan negeri berjumlah RM951,917 daripada keseluruhan peruntukan RM1 juta, katanya.

“Kerajaan negeri juga memberi pengecualian sewa gerai penjaja bagi tempoh tiga bulan mulai Oktober hingga Disember ini; Fi Lesen Permit bagi penjaja untuk 2021 dan bayaran sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk Oktober hingga Disember ini yang memanfaatkan 20,588 penjaja dan 20,268 penyewa PPR.

“Kerajaan negeri turut memberikan bantuan kewangan sekali bayar tambahan sebanyak RM1,000 seorang kepada usahawan mikro dan kotej Sabah. Setakat 19 Disember lalu, 1,369 usahawan membabitkan perbelanjaan RM1.37 juta menerima bantuan ini.

“Kerajaan negeri juga bersetuju menyalurkan bantuan kewangan sekali bayar tambahan RM4,000 kepada 500 syarikat pelancongan dan pengembara aktif di Sabah membabitkan perbelanjaan RM2 juta dengan 100 penerima setakat 19 Disember lalu,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri memberikan bantuan kewangan sekali bayar tambahan sebanyak RM300 kepada 401 veteran tentera dengan perbelanjaan RM120,300 yang akan disalurkan sebelum akhir bulan ini.

Dalam tempoh Oktober hingga 19 Disember lalu, katanya, RM140.32 juta daripada RM160 juta peruntukan disediakan kerajaan negeri sudah dibelanjakan.

Katanya, sebanyak RM14.04 juta daripada peruntukan kerajaan Persekutuan disalurkan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berjumlah RM50 juta pula, sudah dibelanjakan.

BERITA HARIAN

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat