KUALA LUMPUR – Polis belum menerima sebarang pengesahan rasmi berhubung sama ada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan menjalani hukuman tahanan dalam rumah di kediamannya di Langgak Duta.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam berkata, penugasan anggota di kawasan itu masih kekal berpandukan perancangan yang diumumkan semalam.
“Tiada penambahan anggota buat masa ini kerana kami belum menerima sebarang maklumat.
“Sekiranya ada perkembangan atau maklumat terkini yang mengesahkan tahanan dalam rumah Datuk Seri Najib akan dilaksanakan di Langgak Duta, kita akan menambah kekuatan anggota,” memetik laporan BH pada Isnin.
Ditanya sama ada pihak polis sudah menerima pengesahan berhubung tarikh atau masa pemindahan Najib dari penjara, Anuar Bakri berkata, tiada maklumat diterima setakat ini.
“Belum lagi, pihak saya belum menerima sebarang maklumat,” katanya.
Semalam, Anuar Bakri dilaporkan berkata, sebuah balai polis bergerak akan ditempatkan berhampiran kediaman Najib di Langgak Duta bermula jam 7 pagi tadi sebagai sebahagian daripada persiapan keselamatan bagi menghadapi sebarang kemungkinan proses pemindahan dari penjara.
Katanya, penempatan itu bertujuan untuk memudahkan kawalan keselamatan sepanjang proses pemindahan, menguruskan kehadiran pengamal media tempatan dan antarabangsa serta penyokong, di samping mengelakkan kesesakan lalu lintas.
“Balai polis bergerak itu bukannya bertujuan untuk menyediakan kawalan keselamatan 24 jam bagi Najib.
“Tanggungjawab memantau Najib sepanjang tempoh tahanan dalam rumah adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Penjara, manakala pihak polis sekadar membantu melancarkan pergerakan dan menjaga keselamatan sepanjang proses berkenaan,” katanya.
Sebelum ini, empat pegawai Jabatan Penjara dilaporkan melawat kediaman di Langgak Duta itu bagi menjalankan pemeriksaan serta penilaian.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, memberi perkenan pengampunan bersyarat yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan dalam rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada bayaran denda RM50 juta.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, dilaporkan berkata Najib perlu menjelaskan denda RM50 juta itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terlebih dahulu sebelum proses tahanan dalam rumah boleh diteruskan.



