Naib Ketua Pemuda UMNO jawab Naib Pengerusi DAP Johor mahu Zahid letak jawatan

KUALA LUMPUR – Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah mempersoalkan tindakan Naib Pengerusi DAP Johor, Senator Sheikh Umar Bagharib Ali yang mendesak Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk meletak jawatan dan bukannya Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Beliau turut mempertikai apa hak DAP ada untuk mempertikai serta menuduh Zahid dengan pelbagai jenis tuduhan.

“Sejak bila seorang pemimpin DAP diberikan mandat untuk menentukan siapa yang layak memimpin UMNO? Sejak bila pula pelantikan dan kedudukan pemimpin UMNO perlu mendapat restu DAP?” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.

Mohd Hairi mengulas kenyataan media oleh Sheikh Umar yang membuat tohmahan ke atas Zahid serta meminta Zahid meletakkan jawatan.

Beliau mengingatkan DAP supaya jangan melampaui batas apabila cuba mencadangkan siapa yang layak menggantikan Zahid jika Timbalan Perdana Menteri meletakkan jawatan.

“Jangan melampaui batas. Kepimpinan UMNO ditentukan oleh ahli-ahli UMNO melalui Perlembagaan dan proses pemilihan parti.

“Ia bukan diputuskan dalam mesyuarat CEC DAP, bukan ditentukan melalui tekanan politik dan sama sekali bukan urusan seorang Naib Pengerusi DAP peringkat negeri,” katanya.

Mohd Hairi berkata masalah berkaitan peletakan jawatan Loke bermula dari dalam DAP sendiri apabila Sheikh Umar sendiri dalam kenyataannya menyatakan bahawa ada ramai yang tidak bersetuju ketika mesyuarat CEC.

“Hakikatnya, isu ini bermula dari dalam rumah DAP sendiri. Sheikh Umar sendiri mengakui bahawa ramai ahli CEC DAP pada awalnya tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat.

“Jika rumah sendiri masih berserabut, kemaskanlah dahulu,” katanya.

Berhubung dengan dakwaan bahawa Zahid memalukan Perdana Menteri, beliau menegaskan bahawa Presiden UMNO berucap dalam Perhimpunan Agung UMNO di hadapan perwakilan UMNO mengenai kepentingan dan masa depan parti.

“Itulah tanggungjawab seorang Presiden kepada kira-kira 3.2 juta ahli parti—bukannya satu kesalahan yang memerlukan keizinan DAP,” katanya.

Dua hari lepas, parti DAP mengadakan mesyuarat tergemparnya untuk menyelaraskan pendirian tentang Isu Tahanan Rumah Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menerima pengampunan bersyarat dari Yang di-Pertuan Agong.

Usai mesyuarat, dalam sidang media parti, Loke menyuarakan keputusan yang dicapai iaitu beliau setuju menawarkan perletakan jawatannya kepada Perdana Menteri sebagai tanda tidak bersetuju dengan keputusan yang diterima oleh Najib.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat